Sistem DBKL tergendala, nafi komputer digodam

Sistem DBKL tergendala, nafi komputer digodam

Timbalan pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja berkata sistem mereka hanya tergendala, bukan tidak dapat beroperasi sepenuhnya.

hac
PETALING JAYA:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan sistem komputer di Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja digodam pihak tertentu.

Timbalan pengarah bahagian itu Ismadi Shakirin berkata sistem mereka hanya tergendala, bukan tidak dapat beroperasi sepenuhnya.

“Tidak boleh kata digodam sebab kita sendiri tidak mempunyai bukti sahih lagi. Sistem kita hanya tergendala pada minggu ini, dan puncanya sedang dikesan.

“Kita masih boleh masukkan data, Cuma tidak boleh cetak borang permohonan perlesenan mereka. Itu saja. Perkara ini juga baru berlaku minggu ini,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil yang mempersoalkan sama ada sistem komputer di jabatan itu tergendala akibat digodam.

Fahmi turut meminta penjelasan DBKL selepas mendakwa beberapa petugas DBKL di jabatan itu berkata sistem tidak berfungsi selama seminggu kerana digodam dan tiada notis pemberitahuan kepada pelanggan.

“Semalam saya bersama seorang penduduk Setiawangsa ke Menara DBKL 2 di Jalan Raja Laut untuk urusan pelesenan. Setibanya kami ke jabatan itu di tingkat 5, saya membaca notis di pintu yang berkata sistem komputer DBKL tidak berfungsi.

“Setelah bertanya dengan beberapa petugas DBKL, saya diberitahu sistem tersebut tidak berfungsi selama seminggu akibat digodam, dan orang ramai yang datang tidak dapat membuat bayaran atau mencetak lesen dan urusan lain,” katanya.

Ismadi berkata notis pemberitahuan sistem tergendala juga dibuat.

“Kejadian ini baru berlaku pada Selasa lalu dan ini benda teknikal, dia harus faham. Kita ada tampal notis sistem tergendala.

“Difahamkan sistem masih belum pulih dan akan selesaikan dengan segera,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.