Marhamah dah beri penjelasan mencukupi, kata Fahmi

Marhamah dah beri penjelasan mencukupi, kata Fahmi

Fahmi Fadzil kata timbalan menteri hal ehwal agama yang baharu itu sudah beri penjelasan terperinci berkait kutipan dana 'Justice for Zara'.

Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil berkata isu perlantikan Marhamah Rosli sebagai timbalan menteri hal ehwal agama tidak perlu dipanjangkan kerana beliau sudah beri penjelasan.
PETALING JAYA:
Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil mempertahankan perlantikan Marhamah Rosli sebagai timbalan menteri hal ehwal agama dengan berkata beliau telah menjawab dengan mencukupi dakwaan berkait kempen kutipan dana ‘Justice for Zara’.

Dalam sidang media mingguan Kementerian Komunikasi hari ini, beliau berkata penjelasan Marhamah adalah menyeluruh dan agak terperinci, khususnya berkaitan dana yang dikumpulkan.

Marhamah menerima kecaman di media sosial berhubung latar belakangnya, khususnya penglibatannya dalam dana ‘Justice for Zara’, selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikannya sebagai sebahagian daripada barisan Jemaah Menteri.

Beliau menegaskan tiada dana disalah guna dalam pengurusan akaun ‘Tabung Justice for Zara’ bagi menampung kos proses inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

Selaku aktivis yang memulakan gerakan itu, beliau berkata akaun tabung berkenaan diasing sepenuhnya dan tidak bercampur dengan akaun lain NGO yang pernah dipengerusikannya.

Katanya, tabung itu juga mempunyai penama tersendiri yang melibatkan ibu Zara, beberapa peguam, serta jawatankuasa NGO.

Fahmi berkata kempen dana itu mematuhi peraturan sedia ada dan telah memperoleh persetujuan, sokongan serta kelulusan pada ketika itu, termasuk daripada pejabat ketua menteri Sabah.

Beliau berkata nama Marhamah tidak tersenarai dalam akaun yang digunakan untuk mengumpul dana tersebut, yang juga telah diaudit.

“Penjelasan sudah diberikan, jadi saya tidak fikir tidak perlu panjangkan isu ini lagi, walaupun masih ada pihak yang menyerangnya di media sosial,” katanya.

Mengulas kenyataan terhadap Adam Adli Abdul Halim susulan pelantikannya sebagai timbalan menteri pendidikan tinggi, Fahmi berkata adalah perkara biasa dalam politik apabila kenyataan lampau dibangkitkan semula.

“Dalam politik, adalah perkara biasa untuk ahli politik apabila diingatkan tentang kenyataan atau janji lama.

“Sebagai timbalan menteri pendidikan tinggi, Adam akan mempunyai lebih ruang untuk menilai cara terbaik untuk melaksanakan apa yang pernah diucapkan sebelum ini dan sama ada ia boleh dilaksanakan dari segi kewangan dan pelaksanaan,” katanya.

Fahmi turut memberi contoh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah berjaya melaksanakan beberapa langkah, termasuk mengecualikan sejumlah peminjam B40 yang layak daripada bayaran balik pinjaman.

Semasa menjadi aktivis mahasiswa, Adam memperjuangkan pendidikan tinggi percuma dan penghapusan pinjaman PTPTN.

Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki semalam berkata terdapat persoalan sama ada Adam mampu melaksanakan penghapusan pinjaman PTPTN.

Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany), Tang Yi Ze, juga menggesa Adam supaya tidak melupakan agenda reformasi yang diperjuangkannya sebagai aktivis mahasiswa, susulan pelantikannya sebagai timbalan menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.