Demokrasi Jerman pun masih baru, Zairil jawab Zaid

Demokrasi Jerman pun masih baru, Zairil jawab Zaid

Katanya, jika rakyat Jerman boleh memahami konsep gabungan politik seperti yang dicadangkannya sebelum ini, kenapa rakyat Malaysia tidak boleh.

Zairil-Khir-_zaid-ibrahim_rakyat
PETALING JAYA :
Kewujudan demokrasi di Jerman belum begitu lama dan tempoh masanya hampir sama dengan Malaysia, kata Zairil Khir Johari ketika membalas semula kritikan bekas menteri Umno, Datuk Zaid Ibrahim.

Ahli Parlimen DAP itu berkata mengapa rakyat Malaysia tidak boleh memahami konsep gabungan politik seperti yang dicadangkannya sebelum ini, sedangkan rakyat Jerman yang politiknya masih boleh dianggap muda, dapat memahaminya.

“Jerman yang dianggap negara demokrasi yang unggul sebenarnya hanya menjadi demokratik secara keseluruhannya pada 1989 selepas penyatuan Jerman Barat dan Jerman Timur. Sebelum itu, Jerman Timur negara komunis.

“Jangan pula kita lupa Jerman sebelum 1949 merupakan negara fasis yang paling digeruni di dunia,” katanya kepada FMT hari ini.

Terdahulu, Zaid menasihatkan Zairil yang beliau perlu memahami politik Malaysia sebelum meniru gabungan politik di Jerman.

Dalam satu siri tweet, Zaid berkata negara perlu bersatu melawan perkauman dan autoritarian ideologi.

Zaid juga tidak bersetuju dengan petikan Zairil yang juga naib pengerusi DAP Pulau Pinang dalam menjadikan Jerman sebagai contoh negara yang mempunyai pakatan berjaya walaupun ideologi berbeza.

Zairil berkata negara jiran seperti Indonesia juga mengamalkan sistem politik gabungan yang tidak tetap.

“Jika rakyat Indonesia mampu melakukannya mengapa tidak Malaysia,” soalnya.

Zairil pada masa sama berkata kenyataan Zaid itu mengecewakan kerana memandang rendah terhadap rakyat Malaysia.

Pautan

Zaid: Kita bukan seperti Jerman, Zairil

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.