Siti Kasim cabar Kelantan heret Orang Asli ke mahkamah

siti kasim

PETALING JAYA: Peguam aktivis Siti Kasim mencabar Kerajaan Kelantan supaya mendakwa Orang Asli Temiar di mahkamah, sekiranya tindakan mereka menghalang pembalak menyalahi undang-undang.

Cabaran itu susulan kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah yang mendakwa kira-kira 200 Orang Asli Temiar di Gua Musang melanggar undang-undang kerana mendirikan sekatan bagi menghalang pembalak berlesen daripada mengambil balak dari hutan simpan Balah.

“Saya cabar mereka. Beritahu itu kepada mereka,” katanya ketika dihubungi FMT.

“Beritahu kepada Kerajaan Kelantan supaya bawa Orang Asli ke mahkamah. Kita buat penentuan di mahkamah.”

Siti tidak mahu mengulas panjang sama ada hutan simpan itu milik Orang Asli atau bukan.

“Sama ada haram atau tidak, sama ada tanah itu milik kerajaan atau Orang Asli…kita tentukan di mahkamah.”

Siti terbabit dengan masyarakat Orang Asli itu dan menyaksikan penahanan 3 orang Asli kerana mendirikan sekatan sebagai bantahan kepada aktiviti pembalakan yang berleluasa.

Mohd Amar sebelum itu ditanya mengenai hak Orang Asli mendirikan dua sekatan bagi menghalang kayu balak daripada meninggalkan kawasan 239ha dan 404ha hutan simpan.