
Ahli Parlimen Segambut daripada DAP, Lim Lip Eng berkata itu hak mereka tetapi partinya tidak akan bekerjasama jika terdapat ‘politik katak’ di dalam blok pembangkang.
“DAP tidak akan menghalang mana-mana pihak menyertai PPBM. Itu hak mereka kerana negara kita mengamalkan prinsip demokrasi.
“Tetapi kita tidak akan terima mereka yang mempunyai sikap ‘politik katak’. Kita dah rampas kerajaan misalnya dan selepas itu dia rompak balik kita. Itu ‘politik katak’. Kita tidak boleh terima,” katanya.
Amanah dan PKR terdahulu mengeluarkan kenyataan yang mengalu-alukan bekas ahli Perkasa untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir berkata penyertaan bekas atau ahli Perkasa dalam PPBM pastinya akan memperkuatkan blok pembangkang dalam menumbangkan Barisan Nasional (BN).
Kebelakangan ini, semakin ramai ahli Perkasa dilihat menyertai PPBM selepas Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya mengambil keputusan melepaskan jawatannya dan menyertai PPBM.
Abu Bakar juga mengakui tindakannya itu akan membawa lebih ramai pengikut menyertai PPBM.
Mengulas lanjut, Lim berkata buat masa ini tidak ada perbincangan bersama dengan parti pembangkang lain dalam menghadapi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.
“Buat masa ini kita tidak ada buat sebarang perbincangan dengan Bersatu mengenai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang. Apa yang perlu dilakukan buat masa ini adalah berbincang mengenai hala tuju kita bersama parti pembangkang lain,” katanya.