
Khairy percaya 3 pemenang pingat emas paralimpik, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly mampu mengatasi rekod dalam acara masing-masing dan menandingi rekod atlet normal.
Beliau mahu Mohamad Ridzuan melakukan larian sepantas 11 saat dalam acara 100 meter T36 pada Sukan Para Asean manakala Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly mengatasi rekod kebangsaan atlet normal pada Sukan SEA nanti.
“Selepas ini, Ridzuan perlu berlari dengan lebih pantas, Ziyad pula catatan balingan 17 meter harus dalam tangan dan Abdul Latif pula mengatasi rekod lompat jauh atlet normal.
“Siti Noor Radiah Ismail pula perlu tingkatkan prestasi dengan pencapaian lebih baik pada Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo dengan warna pingat yang berbeza daripada kejayaan pingat gangsa di Rio,” katanya ketika berucap pada Majlis penyerahan sumbangan daripada Kumpulan Naza kepada pemenang pingat di Sukan Paralimpik Rio, di Menara Naza, Persiaran KLCC di sini.
Pada Sukan Paralimpik September lepas, Mohamad Ridzuan meraih pingat emas dengan catatan masa 12.07 saat, Muhammad Ziyad melakukan lontaran sejauh 16.84 meter dalam acara lontar peluru F20.
Abdul Latif pula meraih pingat emas selepas mencatat jarak 7.60 meter dalam acara lompat jauh T20 di Rio dan Siti Noor Radiah melakukan lompatan sejauh 5.20m dalam acara yang sama dalam kategori wanita.
Dalam pada itu, Khairy turut menasihatkan kepada kesemua pemenang pingat Paralimpik supaya lebih bijak mengurus kewangan selepas menerima pelbagai ganjaran daripada kerajaan dan syarikat swasta.
“Semua atlet perlu mengurus dengan lebih baik hasil kejayaan yang diterima. Hari ini anda (atlet) sudah bergelar jutawan, jangan biarkan ganjaran itu mengaburi kejayaan anda selepas ini…ingat di mana anda datang,” katanya.
Sementara itu, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), SM Nasirudin SM Nasimuddin berharap atlet paralimpik negara perlu meneruskan kejayaan berganda di Sukan Paralimpik Tokyo empat tahun lagi.
SM Nasirudin yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Naza berkata tiga pemenang pingat emas itu layak diberi penghargaan dengan ganjaran sebuah kediaman suite di Trion 888, Equine Park serta sebuah kereta Kia Sportage ekoran kejayaan luar biasa yang ditunjukkan oleh atlet berkenaan.
Siti Noor Radiah turut menerima sebuah kereta Kia Rio sedan selepas meraih pingat gangsa acara lompat jauh T20 di Rio.
“Kami juga turut memberikan ganjaran kepada ketiga jurulatih paralimpik negara, R.Jaganathan, Mohd Faizol Harun dan Mohd Syahrul Amri Mohd Suhaimi atas usaha mereka membimbing atlet negara sehingga menjadi juara,” katanya.
Nilai keseluruhan sumbangan Naza Corporation Holdings kepada atlet paralimpik negara bernilai RM1.5 juta.