KJ tak setuju PRU16 dalam masa terdekat

KJ tak setuju PRU16 dalam masa terdekat

Bekas ketua Pemuda Umno kata negara perlukan kestabilan dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang bagi berdepan cabaran ekonomi dan kesan konflik di Asia Barat.

khairy jamaluddin
Khairy Jamaluddin berkata PRN Melaka dan Johor tidak dapat dielakkan memandangkan tempoh penggal DUN dua negeri itu hampir tamat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Khairy Jamaluddin tidak bersetuju PRU16 diadakan dalam masa terdekat ketika negara perlu mengekalkan kestabilan bagi berdepan cabaran ekonomi dan kesan konflik di Asia Barat.

Bekas ketua Pemuda Umno itu berkata tempoh tiga hingga enam bulan akan datang amat penting untuk kerajaan mengurangkan kesan konflik, selain membina daya tahan ekonomi.

“Saya lebih suka ‘tidak’ kerana tiga hingga enam bulan akan datang amat penting dalam usaha kita mengurangkan kesan konflik di Asia Barat selain membina daya tahan ekonomi.

“Untuk itu, kita perlukan kestabilan politik,” katanya dalam temu bual program The Breakfast Grille terbitan BFM.

Beliau mengulas sama ada PRU wajar diadakan lebih awal susulan perkembangan politik semasa, termasuk pertikaian berhubung kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Johor.

Semalam, Pengerusi PH Anwar Ibrahim membayangkan kemungkinan membubarkan Parlimen bagi membuka laluan kepada PRU16 lebih awal jika rakan kerjasama dalam kerajaan perpaduan terus bertindak menggugat kestabilan politik.

Beliau merujuk situasi di Johor apabila BN negeri mengumumkan hasrat bertanding 56 kerusi pada PRN yang mengundang reaksi pemimpin PH yang mempersoalkannya, ketika kedua-duanya bekerjasama di peringkat persekutuan.

Bagaimanapun, Khairy berkata PRN Johor dan Melaka tidak dapat dielakkan kerana tempoh penggal DUN di dua negeri itu hampir tamat.

Katanya, PRN berkenaan boleh menjadi ‘barometer’ penting kepada BN sebelum menentukan hala tuju gabungan itu pada PRU16.

Khairy berkata keputusan di Johor dan Melaka akan memberi gambaran mengenai kekuatan sebenar BN, termasuk sama ada wajar bergerak solo atau membentuk persefahaman politik dengan blok lain.

“Johor dan Melaka akan memberi gambaran mengenai apa yang akan berlaku pada PRU,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.