
Sayap pemuda gabungan itu berkata sesuatu yang ‘amat janggal dan tidak masuk akal’ sekiranya parti penyandang kelihatan teragak-agak, tidak yakin atau tidak bersedia mempertahankan kerajaan yang ingin terus dipimpin.
“Ketetapan untuk bertanding di semua kerusi merupakan amalan biasa dalam mana-mana sistem demokrasi matang.
“Mana-mana parti atau gabungan yang sedang memerintah sememangnya bertanggungjawab menawarkan diri semula kepada rakyat bagi mendapatkan mandat baharu untuk terus mentadbir kerajaan,” katanya dalam kenyataan bersama.
Kenyataan itu dikeluarkan Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azleen Ambros, Ketua Pemuda MCA Johor Heng Zhi Li dan Ketua Pemuda MIC Johor A Mohan.
Mereka mengulas pengumuman Pengerusi BN Johor Onn Hafiz Ghazi pada Sabtu bahawa gabungan itu akan bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang.
Pada PRN 2022, BN menang 40 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) 12 sementara itu Perikatan Nasional (PN) tiga dan Muda 1.
Pemuda BN Johor turut menolak tanggapan keputusan itu sebagai pengkhianatan terhadap PH Johor atau mana-mana parti dalam gabungan berkenaan.
Katanya, kerajaan Johor ketika ini bukan terbentuk hasil gabungan politik pasca pilihan raya atau rundingan pembahagian kuasa, sebaliknya lahir daripada mandat jelas rakyat pada PRN Johor 2022 yang memberikan kemenangan besar kepada BN.
“Justeru, PH Johor dan mana-mana parti dalam gabungan tersebut tidak sepatutnya merasa terkilan, marah apatah lagi mendakwa kononnya berlaku pengkhianatan terhadap mereka susulan keputusan BN Johor ini,” katanya.
Pemuda BN Johor juga berkata pihaknya mengalu-alukan sekiranya PH Johor mahu meletakkan calon di semua 56 kerusi DUN.
Katanya, rakyat perlu diberikan ruang membuat penilaian sendiri melalui proses demokrasi terbuka dan matang.
“Inilah demokrasi sebenar — rakyat diberikan pilihan, parti diberikan ruang bertanding, dan mandat ditentukan sepenuhnya oleh pengundi,” katanya.