
Bagaimanapun, usaha untuk membuat kad pengenalan baharu secara percuma itu memakan diri apabila lelaki berusia 30 tahun itu ditahan berikutan polis curiga dengan fakta yang dilaporkannya dan hasil soal siasat akhirnya beliau mengakui laporan itu hanyalah rekaan semata-mata.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Wan Hassan Wan Ahmad berkata individu berkenaan yang berasal dari Kampung Chuang, Hulu Selangor, Selangor sebenarnya kehilangan dompet miliknya termasuk kad pengenalan dipercayai tercicir.
“Terdahulu, pemuda yang bekerja sebagai buruh kontrak itu membuat satu laporan polis di sini mendakwa memberhentikan motosikalnya di suatu kawasan di Langkap setelah ditahan seorang perempuan Melayu yang motosikalnya kehabisan minyak.
“Pemuda itu mendakwa ketika hendak menolong wanita itu, 2 lelaki India datang kepadanya dan mengacu pisau di leher dan diminta untuk menyerahkan barang peribadinya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Wan Hassan berkata siasatan juga mendapati suspek 4 kali kehilangan kad pengenalan dan disebabkan enggan membayar denda RM300 oleh JPN, beliau sanggup menipu.
“Kita menahan lelaki itu untuk disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi atau membuat laporan palsu dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 6 bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.