Lebih 50 notis bantahan persempadanan SPR dihantar PKR, DAP Selangor

Lebih 50 notis bantahan persempadanan SPR dihantar PKR, DAP Selangor

Mengapa SPR tidak menambah jumlah kerusi Parlimen dan DUN sedangkan pilihan raya umum nanti menyaksikan pertambahan pengundi paling banyak.

spr-1
SHAH ALAM:
Menjelang tarikh akhir bantahan persempadanan semula esok, PKR dan DAP Selangor hari ini menghantar lebih 50 notis bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Setiap satu notis dihantar oleh kumpulan 100 orang bagi membantah persempadanan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

Mereka mempertikaikan mengapa SPR tidak mahu menambah jumlah kerusi Parlimen dan DUN sedangkan pilihan raya umum nanti menyaksikan pertambahan pengundi paling banyak.

“Pada persempadanan semula 2003, jumlah pengundi adalah hanya 1.4 juta. Sekarang di bawah persempadan semula 2016 pengundi di Selangor bertambah 2.1 juta.

“Ini merupakan tambahan sebanyak 700 ribu pengundi dan penambahan terbesar di seluruh negara,” kata Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming.

SPR sebelum ini memaklumkan kajian semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan Pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.

Kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan atau kumpulan 100 orang di kawasan terjejas diberi masa sebulan sehingga esok untuk kemukakan bantahan.

Selain pertambahan pengundi yang luar biasa, DAP dan PKR juga tidak berpuas hati dengan taburan pengundi yang terlalu berasaskan kaum.

PKR memberi amaran persempadanan ini sekiranya diteruskan seolah mempertembungkan pengundi Melayu dan bukan Melayu dalam pilihan raya akan datang.

“Adalah amat membimbangkan cara (mereka) nak pecahkan orang Melayu dan bukan Melayu,” kata Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar.

Tinjauan hasil pilihan raya lepas menyaksikan pakatan pembangkang paling berpeluang untuk menang di kawasan campuran di negeri Pantai Barat Semenanjung, khususnya Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“SPR mahu bagi kemenangan kepada Umno dan BN. Mereka ingat pengundi Melayu akan undi Umno dan BN,” tambah Dr Xavier.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.