4 jurulatih APM disiasat guna ular takutkan murid

Mohd-Noor-Hassan-Ashari-Sulaiman

IPOH: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sedang menyiasat tindakan 4 jurulatihnya mencampak ular ke dalam kolam ketika murid sekolah sedang menjalani ujian bina diri.

Kolonel Pertahanan Awam Perak, Mohd Noor Hassan Ashari Sulaiman memberitahu Bernama pihaknya juga akan memanggil pembantu jurulatih untuk disoal siasat.

Beliau diminta mengulas rakaman video yang menjadi viral dan menerima kritikan netizen, di mana beberapa murid menangis dan menjerit-jerit, selepas ular dicampak ke dalam kolam ketika mereka menjalani modul tersebut.

Rakaman itu turut menunjukkan beberapa anggota APM menyiram air dan menyergah murid untuk menguji keberanian mereka.

Seramai 45 murid dari sebuah sekolah rendah di Kuala Kangsar menyertai modul latihan berkenaan di perkarangan pejabat APM Kuala Kangsar.

Mohd Noor berkata, pembelajaran modul itu yang dijalankan sejak hampir 4 tahun lalu digantung serta-merta sehingga siasatan lanjut selesai.

“Penggantungan dibuat bagi mengenal pasti sama ada terdapat pelanggaran operasi prosedur standard (SOP),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penggunaan ular tidak berbisa pertama kali dilakukan.

“Ia tidak boleh dipandang remeh. Hasil siasatan setakat ini mendapati jurulatih tersebut terpengaruh dengan modul latihan dalam YouTube.

“Biarpun semasa insiden itu, guru pengiring berada di tepi kolam dan mengakui pelajar mereka ceria selepas melalui modul itu, namun ia bukan dasar APM dan ia tidak dibenarkan,” katanya.

Pautan:

Guna ular untuk takutkan murid-murid ialah penderaan