Selangor ambil langkah awal turunkan harga rumah

Azmin-Ali_ppr

KUALA LUMPUR : Menteri Besar Selangor berkata Kerajaan Negeri sudah mengambil langkah awal menurunkan harga rumah, dengan merancang pembinaan di tanah milik kerajaan dan penetapan syarat kepada pemaju.

Datuk Seri Mohamad Azmin Ali (PKR-Gombak) berkata ia dibantu dengan harga tanah milik kerajaan yang masih lagi munasabah.

“Tanah swasta di Lembah Klang sudah tentu nilainya lebih tinggi, tetapi kita bina rumah di atas tanah kerajaan. Ini dapat menjimatkan kos.

“Dan bagi tanah yang ada hak milik kita letakkan syarat supaya pemaju bina Rumah Selangorku (mampu milik) sebelum membina rumah bernilai tinggi,” katanya kepada pemberita di ruang legar Parlimen hari ini.

Terdahulu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata kementerian bercadang memohon kerjasama Kerajaan Negeri agar kuasa penentuan harga rumah diselaraskan bagi membantu menurunkan harga rumah.

Menurut Noh, cadangan itu akan dibentangkan pada Mesyuarat Perumahan Negara yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak 24 November.

Azmin mengingatkan Putrajaya bahawa selain isu harga, rumah kos rendah dan rumah mampu milik juga perlu perlu dibina berhampiran sistem pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT).

“Sebab orang-orang inilah yang memerlukan perkhidmatan sebegitu,” katanya.

Pautan berita:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/10/27/kementerian-cadang-kuasa-tentukan-harga-rumah-kerajaan-negeri-diselaras/