NGO buat laporan terhadap Muhyiddin kerana bocor rahsia kerajaan
Presidennya berkata, tindakan Muhyiddin itu merupakan satu pelanggaran terhadap OSA dan dikhuatiri penjawat awam lain berasa mereka dibenarkan melakukan perkara yang sama.
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di sini hari ini.
Menurut beliau, Muhyiddin beberapa kali bercakap mengenai perkara berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dianggap rahsia kerajaan.
“OSA terpakai kepada semua kakitangan kerajaan, walaupun yang sudah meletak jawatan atau bersara, kerana semasa bertugas bersumpah melindungi sebarang kebocoran maklumat sulit.
“Tetapi Muhyiddin, pada majlis di Kijal, Terengganu, dan semasa ucapan Bajet 2017 di Parlimen, membocorkan maklumat sulit berkaitan 1MDB.”
Beliau berkata tindakan Muhyiddin itu merupakan satu pelanggaran yang jelas terhadap OSA dan boleh memberi kesan buruk kerana penjawat awam lain akan berasa mereka dibenarkan melakukan perkara yang sama.
“Akta itu dikuatkuasakan bagi memastikan semua rahsia kerajaan dilindungi.
“Jika kita tidak melihat kesalahan Muhyiddin secara serius, ia akan memberi kesan yang berbahaya. Lebih-lebih lagi dengan adanya Facebook dan platform media sosial yang lain, di mana maklumat mudah disebarkan.
“Itulah sebabnya kami membuat laporan ini, menggesa polis mengambil tindakan segera terhadap beliau (Muhyiddin). Dan kami akan terus mendesak bagi susulan,” kata Azwanddin.
Laporan itu dibuat berikutan amaran yang dikeluarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini kepada Muhyiddin dan bekas menteri kewangan ke-2 Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang mendedahkan maklumat mereka diperolehi semasa menjadi ahli Kabinet.
Tindakan itu adalah satu pelanggaran sumpah kerahsiaan yang mereka ikrarkan.
Justeru, Pandikar memberi amaran serta boleh membukanya terhadap penyiasatan di bawah OSA, atau Akta Hasutan.
Speaker juga memetik ucapan Muhyiddin ketika membahaskan Bajet 2017, di mana ketika beliau bersama kerajaan, Kabinet mahu meluluskan RM3 bilion pinjaman kepada 1MDB, yang kemudiannya ditukar kepada kredit tersedia sebanyak RM950 juta selepas beliau menyatakan pendapat tentangnya.
“Bagi saya, apa yang saya dengar, dan baca (kenyataan Muhyiddin itu) adalah keputusan Kabinet tidak dilaksanakan. Itu adalah maklumat rahsia.
“Kami tidak boleh memberitahu semua rahsia ini kepada sesiapa. Malah anda tidak boleh memberitahunya kepada isteri,” kata Pandikar.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram