IPR: Kuasa ketiga atau sekadar peluang disia-siakan?

IPR: Kuasa ketiga atau sekadar peluang disia-siakan?

Usaha Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) memperjuangkan kerjasama merentasi ideologi dalam isu awam berisiko dilihat sebagai tanda ketidakpastian di saat genting.

mohamed azmin ali

Perpecahan dalam Bersatu serta hubungan parti itu yang dikatakan semakin renggang dengan PAS menyebabkan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) seolah-olah kehilangan arah dalam landskap politik.

Namun secara paradoks, gabungan itu masih mempunyai potensi berkembang menjadi satu kuasa ketiga yang berwibawa menjelang PRU akan datang.

Bagaimanapun, sebuah kuasa ketiga tidak akan mampu bertahan jika asasnya kabur dan tidak jelas.

Ketika ini, IPR meletakkan dirinya sebagai platform untuk ‘kerjasama merentasi ideologi dalam isu awam’. Tetapi tanpa arah politik kukuh, gabungan itu berisiko dilihat sebagai tidak tegas.

Perkembangan terkini menonjolkan dilema ini. Urimai dan Muda menjelaskan IPR tidak bercadang menyertai Perikatan Nasional (PN), sekali gus mendorong PAS menjauhkan diri daripada gabungan itu.

Sementara itu, ahli lain dalam IPR termasuk komponen PN seperti Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) serta Pejuang, Putra, Berjasa, MAP dan Parti Perikatan Muslim Nasional India — belum menyatakan pendirian atau harapan mereka secara jelas dan tersusun.

Mengapa masih ada keraguan itu?

Dalam suasana politik yang sudah pun meletihkan, strategi tidak boleh dibina atas sikap teragak-agak terutama apabila ruang untuk kemunculan kuasa ketiga sebenarnya wujud dengan jelas.

Memandangkan ia tidak bersama kerajaan perpaduan mahupun blok pembangkang, IPR sepatutnya memposisikan dirinya sebagai kuasa ketiga.

Hakikatnya, gabungan ini berpotensi menarik sokongan daripada tiga kaum utama.

Dalam kalangan pengundi India, P Ramasamy daripada Urimai boleh muncul sebagai tokoh utama.

Pada usia 76 tahun, bekas pemimpin DAP itu mungkin bukan figura populis tetapi penekanannya terhadap tadbir urus, kesaksamaan dan reformasi institusi masih mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat India yang merasakan diri mereka terpinggir daripada arus politik utama.

Kredibiliti dan rekod beliau boleh membantu mengukuhkan sokongan pengundi India, sekali gus memberikan IPR imej lebih serius dan berwibawa.

Bagi MIC — yang kurang selesa dalam Barisan Nasional tetapi enggan bersama PN — kemunculan IPR boleh menjadi titik perubahan, menawarkan platform untuk menyusun semula strategi politik dan menghentikan kemerosotan pengaruhnya.

Secara lebih luas, sebagai kuasa ketiga, IPR memberi peluang kepada masyarakat India yang tidak terikat dengan mana-mana parti dan yang kecewa dengan politik semasa untuk meletakkan harapan mereka pada entiti baharu.

Peluang sama juga wujud dalam kalangan pengundi Cina. MCA, walaupun masih bersama BN, terus berdepan krisis kepercayaan.

DAP pula dilihat semakin kehilangan sokongan akar umbi akibat persepsi bahawa parti itu menyimpang daripada matlamat asalnya.

Namun, pengundi Cina secara relatif masih setia. Isu utama bukanlah penghijrahan besar-besaran sokongan, tetapi semakin berkurangnya keterlibatan dengan parti dalam kerajaan.

Di sinilah peranan kuasa ketiga menjadi penting yang bukan semestinya untuk meraih sokongan besar serta-merta, tetapi untuk menarik kembali pengundi yang kini semakin cenderung tidak mengundi kerana kecewa.

Sekurang-kurangnya, pilihan ketiga yang diyakini boleh mengelakkan undi daripada terus hilang.

Parti kecil seperti Muda dan Pejuang yang sebelum ini sukar mendapat sokongan dalam pilihan raya, juga boleh mendapat manfaat daripada momentum projek kuasa ketiga yang jelas dan tersusun.

Bagi sokongan Melayu pula, cabarannya mungkin tidaklah sebesar yang sering disangka. Namun, ia sangat bergantung kepada kepimpinan.

Ketika ini, IPR berdepan pilihan penting antara bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan bekas sekutunya, Hamzah Zainudin.

Kedua-duanya mengalami kemunduran politik kebelakangan ini.

Muhyiddin bukan lagi pengerusi PN selepas perselisihan dengan PAS, dan kini mengetuai Bersatu yang semakin lemah susulan gelombang pemecatan awal tahun ini.

Hamzah, tokoh paling menonjol antara mereka yang disingkirkan, juga dilihat belum jelas langkah seterusnya.

Dengan peluang kembali ke PN melalui saluran lain hampir mustahil, dan penyatuan semula dengan Umno juga tidak realistik, menerajui kuasa ketiga mungkin menjadi pilihan yang wajar dipertimbangkan oleh Hamzah.

Dilancarkan oleh Muhyiddin pada Oktober tahun lalu — sebelum konflik terbuka Bersatu dengan PAS — IPR kini tidak lagi memenuhi tujuan asalnya. Ini bermakna perubahan dan penyesuaian semula bukan lagi pilihan, tetapi keperluan.

Adakah ia akan berakar dalam politik pilihan raya dan terus menyokong Muhyiddin?

Atau akan dijenamakan semula tanpa Bersatu dan memberi sokongan kepada Hamzah?

Pilihan ini bukan sekadar soal individu, tetapi soal hala tuju.

Dengan PRU16 semakin hampir, semua pihak terlibat perlu membuat keputusan segera supaya IPR tidak menjadi satu lagi contoh peluang politik yang terlepas begitu sahaja.

 

Penulis ialah wartawan kanan Meja Bahasa Inggeris FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.