
Beliau mengingatkan kesan daripada tindakan diambil ke atas mereka yang berkenaan masih ‘terasa’.
Muhyiddin berkata demikian ketika ditanya apakah Bersatu akan melakukan sesuatu untuk menerima kembali bekas ahli tanp syarat, seperti dilakukan Umno baru-baru ini.
“Kita tak boleh banding dengan Umno. Tindakan baru sahaja diambil malah kesan daripada tindakan itu terasa lagi.
“Setakat hari ini, kita kekalkan keputusan itu dan kita tak tahu sama ada ada pihak merayu atau tidak,” katanya pada sidang media selepas konvensyen Bersatu Selangor.
Ketika acara berlangsung, Muhyiddin dalam ucapannya berkata kedudukan Bersatu kembali pulih selepas kemelut yang menyusuli pemecatan dan peletakan jawatan di peringkat pusat, negeri dan bahagian.
Muhyiddin berkata tindakan pantas dan cepat menangani kemelut membolehkan Bersatu “pulih seperti sedia kala”.
“Ini terbukti apabila majlis-majlis besar yang kita adakan seperti iftar di bulan Ramadan, sambutan Aidilfitri di mana sambutan yang ditunjukkan bukan sahaja ahli Bersatu tetapi rakyat jelata hadir dalam jumlah yang luar biasa,” katanya.
Kemelut dalaman Bersatu menyaksikan pemecatan Hamzah Zainudin sebagai timbalan presiden, disusuli penggantungan keahlian ke atas Naib Presiden Ronald Kiandee dan Ketua Srikandi, Mas Ermieyati Samsudin.
Ditanya pemberita kemudian sama ada Bersatu akan terima parti dipimpinan Hamzah menyertai Perikatan Nasional, Muhyiddin beri gambaran ia bukan perkara mudah.
“Ada asas dan prinsip yang kita kena guna pakai. Sebelum ini ada parti yang sudah lama berdaftar seperti Pejuang (Parti Pejuang Tanah Air), Berjasa (Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia) dan Putra (Parti Bumiputera Perkasa Malaysia) mohon tapi belum ada keputusan kerana majlis tertinggi PN belum pertimbangkan,” katanya.