Remaja 14 tahun ditahan mengemis di Kuala Kangsar

Remaja 14 t2ahun ditahan mengemis di Kuala KangsarKUALA KANGSAR: Seorang remaja berusia 14 tahun antara 4 pengemis dan kutu rayau yang diselamatkan dalam operasi bersepadu di beberapa kawasan sekitar Kuala Kangsar, malam tadi.

Tiga lagi yang diselamatkan termasuk 2 wanita berumur 54 dan 64 tahun serta seorang lelaki berumur 62 tahun.

Operasi bersepadu dari 10 malam hingga 3 pagi itu disertai 40 anggota, termasuk daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Agama Islam Perak, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar dan polis.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah, Marzuana Ismazira Mir Ismail berkata, semua yang diselamatkan akan dihadapkan ke mahkamah untuk mendapatkan perintah mengikut Seksyen 3 (2) Akta Orang Papa 1977 bagi membolehkan mereka ditempatkan di Rumah Seri Kenangan, Hulu Kinta, selama 30 hari.

Sementara itu, katanya, remaja tidak bersekolah yang berniaga pakaian itu akan diserahkan kepada anggota keluarganya.

Marzuana berkata, operasi itu bertujuan menyelamatkan pengemis dan kutu rayau, terutama yang tidak mempunyai tempat tinggal menjelang perayaan Deepavali.

“Mereka perlu diselamatkan bagi mengelak golongan berkenaan terdedah kepada jenayah,” katanya selepas operasi itu tamat awal pagi tadi.

Operasi tersebut juga bertujuan menyedarkan masyarakat supaya tidak memberi sedekah kepada mereka yang menjalankan kegiatan mengutip derma tanpa kebenaran, sejajar slogan JKM ‘Bijak Membantu Elak Tertipu’.

Beliau berkata, melalui usaha itu, masyarakat disaran tidak memberi wang kepada pengemis dan memastikan surat yang ditunjukkan individu atau pertubuhan untuk mengutip derma mendapat kebenaran pihak berkuasa serta membuat aduan kepada JKM atau talian kasih 15999, sekiranya terdapat aktiviti mengemis.