RM300 juta setahun rawatan pesakit strok

stroke

Kuala Lumpur: Kira-kira 76,000 pesakit strok mendapatkan rawatan di pelbagai hospital dan institusi perubatan setiap tahun dengan anggaran kos rawatan yang ditanggung sebanyak RM316.51 juta.

Ketua Jabatan Perubatan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Profesor Dr Norlinah Mohamed Ibrahim berkata ia merangkumi 45,000 kes baharu yang menerima rawatan sebagai pesakit biasa dan 31,000 pesakit luar.

Bagaimanapun katanya anggaran kos rawatan itu tidak dibiayai sepenuhnya pesakit sebaliknya antara 70 hingga 80% daripada kos berkenaan disubsidi kerajaan kerana kebanyakan tidak mempunyai insurans.

“Anggaran kos ini adalah berdasarkan kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terhadap kos rawatan strok bagi setiap pesakit yang mendapatkan rawatan setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian Hari Strok Sedunia dan pelancaran aplikasi telefon pintar pemantau strok ‘Stroke Riskometer’ versi Bahasa Malaysia, di sini semalam.

Dr Norlinah berkata secara purata setiap pesakit biasa menerima rawatan dengan kos RM5,447.29 seorang, manakala pesakit luar dianggar memerlukan kos rawatan RM2,278.04.

Katanya, anggaran kos rawatan itu dijangka akan terus meningkat dari semasa ke semasa ditambah pula dengan faktor kekerapan kadar insiden strok yang berlaku saban tahun.

“Bilangan golongan berusia yang berisiko tinggi terhadap penyakit itu juga semakin ramai hari ini dan akan terus bertambah pada masa akan datang dan ini menyumbang kepada peningkatan kos rawatan yang terpaksa ditanggung kerajaan,” katanya.

Strok kekal sebagai punca utama penyakit yang menyebabkan kematian ketiga terbanyak di negara ini selepas penyakit jantung dan kanser dengan kadar kematian sebanyak 14,000 setiap tahun.

Dalam hal ini, Dr Norlinah menegaskan keperluan mendesak untuk membangunkan strategi berkesan terutama bagi memberi kesedaran kepada orang ramai untuk mencegah penyakit itu dan seterusnya mengurangkan kos rawatan.

Mengenai Stroke Riskometer, Dr Norlinah berkata ia merupakan aplikasi yang boleh digunakan orang ramai untuk memantau kesihatan mereka dan risiko penyakit strok dengan memasukkan data diperlukan.

“Aplikasi ini bukan saja mengira risiko strok seseorang pada 5 hingga 10 tahun akan datang, tetapi juga menyediakan pendidikan strok dan strategi untuk mengawal faktor risiko individu di hujung jari,” katanya.

Aplikasi berbahasa Malaysia tersebut dibangunkan Unit Neorologi UKM dengan kerjasama Prof Valery Feigin dari Auckland University of Technology, New Zealand.