
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, menggesa orang ramai memuat turun dan menggunakan aplikasi tersebut, yang tersedia di platform Android dan iOS.
Beliau berkata aplikasi itu dilengkapi beberapa ciri berguna, termasuk ujian kelajuan, tinjauan laluan untuk menjejaki kekuatan isyarat ketika dalam perjalanan, serta tinjauan bangunan bagi menilai liputan di dalam bangunan.
“Semua maklumat ini akan dihantar kepada SKMM secara automatik, dan melalui kaedah ini SKMM dapat memantau kemudahan rangkaian dengan lebih berkesan,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran di ibu pejabat SKMM di sini.
Pengerusi SKMM Salim Fateh Din, dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Abdul Halim Hamzah, turut hadir.
Teo berkata data yang dikumpulkan melalui aplikasi itu akan dikongsi dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi, sekali gus membolehkan mereka mengambil tindakan sewajarnya di kawasan yang mempunyai liputan lemah.
Beliau menegaskan aplikasi itu tidak mengumpul data peribadi, sambil memberi jaminan bahawa identiti pengguna akan terus dilindungi.
Tambahnya, saluran aduan sedia ada kekal tersedia, dan pengguna masih boleh mengemukakan aduan rasmi jika perlu.
Beliau berkata lebih 50,000 pengguna telah memuat turun aplikasi itu setakat ini, dengan kira-kira 170 juta titik data dikumpulkan sepanjang tahun lalu.
“Kami berharap dapat mencapai 300 juta titik data pada tahun akan datang. Lebih banyak data yang dikumpulkan, lebih kukuh aplikasi ini,” katanya.