
SKMM memaklumkan 10 projek diterajui Malaysia yang disokongnya telah disenarai pendek dalam pelbagai kategori pada sidang kemuncak anjuran Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa.
Projek tersenarai itu merangkumi bidang utama, termasuk tadbir urus digital, keselamatan dalam talian, inovasi teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), teknologi pertanian serta pemerkasaan komuniti.
Antara projek dicalonkan ialah Platform Pembangunan Rangka Kerja dan Kapasiti Kemahiran Asean 5G Skills, Pelan Pemulihan Komunikasi dan Infrastruktur, Tadbir Urus Digital Berpaksikan Manusia Melalui Pelan Lima Tahun MCMC 2030 serta AgriNXT: Oil Palm Chapter (OPC).
Turut tersenarai AGRINXT Northern Chapter MCMC: Memperkasa Penternak Ternakan Malaysia Dengan Anggaran Berat Lembu Berasaskan AI dan AGRINXT Northern Chapter MCMC: Memperkasa Pesawah menerusi Pengesanan Penyakit Padi Berasaskan AI.
Portal Sebenarnya.my, Kempen Internet Selamat, pengawasan sisa elektronik melalui kerjasama komuniti untuk tindakan peredaran bertanggungjawab serta memperkasakan komuniti bagi penerimagunaan AI yang sihat dan beretika melalui program Microsoft AI TEACH MCMC turut tersenarai dalam pencalonan itu.
Selaras tema WSIS tahun ini, memanfaatkan ICT bagi mempercepat pembangunan mampan dan membina masa depan digital inklusif, penyertaan Malaysia mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memanfaatkan teknologi untuk kemajuan, ketahanan serta kemakmuran bersama.
“Tahun ini, Malaysia terus memainkan peranan sebagai rakan strategik platinum yang menyumbang secara berterusan dalam dialog global mengenai inovasi teknologi serta mengukuhkan kemunculan Asia Tenggara sebagai hab dinamik inovasi digital.
“Usaha ini menunjukkan pendekatan holistik Malaysia dalam memanfaatkan teknologi bagi pembangunan negara, daripada memperkukuh ketahanan dan tadbir urus digital sehingga memperkasakan komuniti serta menggalakkan tingkah laku dalam talian yang bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, Anugerah WSIS ialah platform global bagi mengiktiraf projek berasaskan ICT yang cemerlang dalam menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
“Undian orang ramai memainkan peranan penting dalam menentukan pemenang, sekali gus menjadikan setiap undi sebagai peluang mengetengahkan inovasi dan impak Malaysia di peringkat global.
“Penyertaan Malaysia dalam Anugerah WSIS 2026 mencerminkan peranan negara semakin berkembang dalam memajukan pembangunan digital yang inklusif, mampan dan bertanggungjawab.”
SKMM menggalakkan rakyat Malaysia menyokong inisiatif ini dengan mengundi melalui platform rasmi Anugerah WSIS di https://www.itu.int/net4/wsis/stocktaking/Prizes/Prizes/.
“Melalui usaha kolektif ini, Malaysia mengukuhkan kepimpinan dalam inovasi teknologi bertanggungjawab, sekali gus menetapkan hala tuju ke arah masa depan digital yang selamat, inklusif dan dipercayai serta mempamerkan impak negara di pentas global.”