
Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman itu terhadap Branley Mohd Tahar, 24, dan memerintahkannya dipenjara enam bulan, jika gagal membayar denda.
Lelaki tu didakwa secara sedar menggunakan perkhidmatan aplikasi Telegram untuk memberi komunikasi lucah, iaitu akses kepada kumpulan Telegram yang mengandungi video lucah bagi maksud komersial.
Dia didakwa menjual kandungan itu kepada ejen penyamaran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melalui akaun Telegram dengan bayaran RM150 melalui tambah nilai Touch N Go pada 8.44 malam 22 Julai 2024.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 233(2)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Hakim berkata, kesalahan dilakukan tertuduh jelas melanggar dua prinsip Rukun Negara, iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan serta Kesopanan dan Kesusilaan, yang memberi kesan negatif kepada masyarakat, selain bertentangan nilai agama Islam.
“Jangan guna media sosial untuk merosakkan moral ‘public’ (orang awam) dan keharmonian negara,” katanya menurut Berita Harian.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana tiada pekerjaan tetap.
“Saya hanya membantu ibu menjual kuih dan menjadi tulang belakang keluarga kerana adik-beradik lain tinggal jauh. Saya dah insaf Yang Arif,” katanya.
Tetapi, Pegawai Pendakwa SKMM, Mohamad Azmir Mohd Razali meminta mahkamah mengenakan hukuman berat kerana kesalahan serius dilakukan tertuduh membawa kesan besar kepada masyarakat, selain tindakannya bermotifkan keuntungan dan pernah menjana sehingga RM33,000.