Pecahkan sempadan agama dalam isu Palestin, kata Dr Ang Swee Chai

dr-ang

KUALA LUMPUR: Setiap orang Islam di Malaysia wajib berusaha mengubah persepsi yang penderitaan rakyat Palestin hanya isu dunia Islam, bukannya kemanusiaan, kata Dr Ang Swee Chai.

Pakar ortopedik kelahiran Pulau Pinang berusia 67 tahun itu berkata kebanyakan negara termasuk Malaysia, isu Palestin sukar meraih simpati masyarakat bukan Islam dan keadaan itu amat menyedihkan.

“Palestin isu kemanusiaan kerana kita semua ciptaan-Nya. Dan kita tidak boleh benarkan ada orang dibunuh hanya kerana dia beragama Islam.

“Peluru dan bom tiada diskriminasi dalam memilih mangsanya. Jadi kita juga jangan diskriminasi (dalam memperjuangkan kemanusiaan),” katanya ketika sesi wawancara bersama FMT semalam.

Dr Ang mula terlibat dengan kerja sukarela di kem pelarian Palestin selepas menyaksikan sendiri tragedi berdarah Sabra-Shatilla pada 1982 yang menyebabkan 3,000 orang awam – kebanyakannya perempuan dan kanak-kanak dibunuh kejam pihak Zionis dalam masa 3 hari.

Saban tahun, demonstrasi membantah kekejaman Israel di Malaysia kebanyakannya disertai orang Islam. Malah, tidak sedikit simpatisan Palestin masih keliru dengan istilah Yahudi dan Zionis.

Katanya, beliau berharap rakyat Malaysia melihat isu Palestin melangkaui slogan agama yang melatari kebanyakan aksi protes terhadap Israel.

“Tiada masalah dengan melaungkan slogan, tetapi bagaimana dengan berjumpa sendiri dengan anak Palestin, merawat luka mereka, mendengar kisah mereka. Anda akan melihatnya dari sisi kemanusiaan.

“Orang bukan Islam tidak boleh menjadi Islamofobia. Setiap orang Islam pula bertanggungjawab menampilkan rakyat Palestin sebagai orang Palestin, dan bukannya semata-mata Muslim,” katanya dan menambah rakyat Palestin beragama Kristian dan berketurunan Yahudi juga tidak terlepas daripada penindasan.

Beliau menceritakan sepanjang 34 tahun mendedikasikan hidupnya merawat pelarian Palestin, tidak pernah sekalipun beliau ditanya tentang agama anutannya.

“Tidak pernah walaupun sekali. Dan mereka juga tidak pernah cuba membuatkan saya memeluk Islam. Bagi mereka, saya seperti saudara sendiri.

“Tetapi saya tidak boleh berbuat apa-apa apabila mereka memanggil saya ‘doktor Cina’, sebab memang saya memang seperti orang Cina,” katanya diiringi ketawa kecil.

Mengulas amalan boikot rakyat Malaysia sebagai penentangan terhadap Israel, Dr Ang berkata sokongan berbentuk positif lebih penting.

Antara jenama utama yang dilihat menyokong Israel dan diboikot sejumlah rakyat Malaysia adalah rangkaian makanan segera McDonald’s dan kafe Starbucks.

“Saya tidak meremehkan usaha memboikot produk yang dilihat menyokong Israel, tetapi lebih penting untuk memberi sokongan positif seperti meraih dana dan meningkatkan kesedaran di kalangan mereka yang masih tidak peduli terhadap isu ini.

“Tetapi jika rakyat Palestin meminta kita memboikot produk yang dihasilkan di tempat penempatan Israel, kita mesti bersolidariti dengan mereka. Ini kerana rumah mereka dirampas demi membina penempatan itu,” katanya.

Bukunya yang bertajuk “From Beirut to Jerusalem” yang merakamkan pengalamannya menyaksikan tragedi Sabra-Shatilla dilancarkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan ia boleh didapati di kedai buku utama.