Exco Selangor nafi tuduhan kerajaan negeri dalang pencemaran Sungai Buah

Exco Selangor nafi tuduhan kerajaan negeri dalang pencemaran Sungai Buah

Dakwaan itu keterlaluan dan Selangor sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap kerajaan Negeri Sembilan.

elizabeth-wong-1
SHAH ALAM: Exco Selangor, Elizabeth Wong menafikan kerajaan negeri itu membuang sendiri bahan tercemar dan kimia ke Sungai Buah sehingga menyebabkan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar yang disifatkan sangat keterlaluan.

“Tindakan Noh Omar membuat dakwaan itu terlalu keterlaluan. Malahan menteri KPKT (Noh) juga tidak turun ke kawasan pencemaran itu.

“Namun kita terharu dengan sokongan diberi Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan timbalannya, Datuk Hamim Samuri yang turun padang melihat sendiri kawasan tercemar.

“Ini kerana mereka mahu lihat dan bau sendiri kawasan pencemaran itu tanpa memanggil media. Ini satu sikap bertanggungjawab,” katanya semasa sesi soal jawab di dalam Dewan Undangan Negeri Selangor.

Terdahulu, Noh Omar menggesa agar pihak berkuasa menyiasat kemungkinan kerajaan Selangor sendiri yang menjadi dalang pencemaran di Sungai Buah, Semenyih baru-baru ini.

Katanya, dakwaan itu serius dan siasatan perlu dibuat secara telus agar nama Umno dan BN dapat dibersihkan selepas menerima tuduhan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini.

Manakala, Elizabeth yang sebelum ini bertegas pencemaran bermula dari Negeri Sembilan berkata, tindakan undang-undang sedang dipertimbangkan untuk diambil bagi menangani isu pencemaran air.

“Kita akan bincang dengan exco dan pegawai undang-undang Selangor, jika ada tindakan yang boleh diambil. Kita perlu buat keputusan dan siasatan pada akhir proses pembersihan kawasan pencemaran itu,” katanya.

Bagaimanapun, Elizabeth berkata kawasan pembersihan di Sungai Buah masih tercemar dan pihak kawalan selia Negeri Sembilan didakwa meminta badan air Selangor menyelesaikan masalah itu sendiri.

LRA Sungai Semenyih terpaksa ditutup lebih 5 kali dalam tahun ini akibat pencemaran dengan yang terbaru pada 23 Oktober lepas akibat pencemaran di Sungai Semenyih yang disyaki berpunca daripada kawasan perindustrian di Nilai, Negeri Sembilan.

Susulan itu, kerajaan mengumumkan satu pasukan khas melibatkan kerjasama agensi di bawah kerajaan persekutuan dan negeri akan ditubuhkan bagi menyelesaikan isu pencemaran sungai yang menjejaskan 1.6 juta pengguna di Selangor.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.