Jakarta cemas menanti perhimpunan bantah gabenor hari ini

Jakarta cemas menanti perhimpunan bantah gabenor hari ini

Lebih 20,000 polis dan tentera ditempatkan menjelang perhimpunan selepas solat Jumaat.

jakarta
KUALA LUMPUR: Jakarta hari ini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga hari ini berikutan penganjuran protes besar-besaran oleh beberapa pertubuhan radikal Islam, di sebalik kebimbangan ia mungkin mencetuskan keganasan seperti dialami bandar raya itu pada 1998.

Jakarta Post melaporkan walaupun polis dan tentera menjamin keselamatan, ramai penduduk mengambil keputusan tidak mahu keluar rumah hari ini kerana bimbang keganasan tercetus pada perhimpunan yang didalangi kumpulan Front Pembela Islam (FPI) dan beberapa pertubuhan lain.

Ia ekoran laporan beberapa kumpulan yang menyokong militan IS juga mungkin di antara ribuan yang dijangka hadir membantah Basuki Tjahaja Purnama, gabenor Jakarta beragama Kristian yang berketurunan Cina.

Basuki yang lebih dikenali dengan nama “Ahok” sebelum ini menjadi sasaran militan tempatan dan penyokong IS.

September lalu, beliau dituduh kumpulan radikan menghina Islam selepas dilaporkan mengkritik pihak yang menggunakan sepotong ayat Al-Quran, yang ditafsirkan sesetengah pihak sebagai larangan bersekutu dengan orang Kristian dan Yahudi.

Lebih 20,000 polis dan tentera diletakkan di beberapa kawasan menjelang perhimpunan yang dijangka bermula selepas solat Jumaat di Masjid Istiqlal, masjid terbesar di Asia Tenggara, melalui Dewan Bandaraya sehingga Istana Presiden.

Beberapa kedutaan termasuk Malaysia dan Singapura menasihati rakyat mereka berjaga-jaga, manakala Presiden Joko Widodo merayu perhimpunan dijalankan secara aman.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.