
Katanya, ia bukanlah perkara luar biasa memandangkan pemimpin veteran DAP itu turut pernah melontarkan gelaran yang sama kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.
Malah katanya, Kit Siang dilihat mesra dengan Dr Mahthir sekali gus melupakan apa yang pernah diungkapkan apabila bekas perdana menteri itu kini bersama gerakan pembangkang.
“Dulu saya menjawab bagi pihak Dr Mahathir. Semasa saya menjadi menteri dulu, ada gelaran paling popular diberi pembangkang terutama Kit Siang kepada Dr Mahathir iaitu ‘maha zalim’.
“Tetapi bila mereka bertemu di Parlimen, gelaran itu kini dipindah kepada saya. Terima kasih Gelang Patah. Satu ketika nanti kalau politik Kit Siang dengan saya sama, mungkin gelaran itu dilupakan,” katanya semasa sidang media di Parlimen hari ini.
Minggu lalu, suasana di Dewan Rakyat kecoh sebaik sahaja Pandikar mengarahkan Kit Siang menarik semula tuduhan “speaker zalim” yang dilemparkan kepadanya.
Ia berlaku selepas Pandikar menghalau ahli Parlimen DAP, Steven Sim yang dikatakan enggan duduk, sebaliknya membantah keputusan dibuat Pandikar berhubung penolakan usul membawa Datuk Seri Najib Tun Razak (BN-Pekan) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.