2 pertubuhan hak asasi kecam hukuman ke atas Rafizi

2 pertubuhan hak asasi kecam hukuman ke atas Rafizi

Amnesty International berkata, Rafizi sekadar bertindak atas kepentingan awam sebagai seorang wakil rakyat apabila dia membuat pendedahan itu.

rafizi
PETALING JAYA: Dua pertubuhan hak asasi manusia mengkritik keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara ke atas Rafizi Ramli kerana mendedahkan sebahagian laporan ketua audit negara mengenai 1MDB, lapor The Diplomat.

Isnin lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan ke atas setiausaha agung PKR itu kerana melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972, apabila dia mendedahkan petikan laporan audit mengenai penyalahgunaan dana daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera dalam skandal 1MDB.

Amnesty International berkata, Rafizi sekadar bertindak atas kepentingan awam sebagai seorang wakil rakyat apabila dia membuat pendedahan itu.

“Dengan menggunakan Akta Rahsia Rasmi, pihak berkuasa Malaysia sekali lagi menggunakan alasan keselamatan negara bagi menghalang orang ramai daripada mempersoalkan dana 1MDB dan menerima maklumat sedemikian,” kata Timbalan Pengarah Amnesty International bagi rantau Asia Tenggara dan Pasifik, Josef Benedict kepada majalah hal ehwal semasa berpangkalan di Tokyo itu.

Sementara itu, Phil Robertson yang merupakan Timbalan Pengarah Asia untuk Pemerhati Hak Asasi Manusia berkata, hakikat Datuk Seri Najib Razak didakwa terbabit dalam rasuah menjadikan hak rakyat untuk mengetahuinya lebih penting, tanpa perlu takut terhadap dakwaan bermotifkan politik untuk sesiapa membincangkannya.

“Sabitan ahli Parlimen pembangkang, Rafizi Ramli di bawah Akta Rahsia Rasmi tidak pernah berlaku sebelum ini, penyalahgunaan hak menggunakan akta ini hanya mempunyai satu tujuan, untuk menakut-nakutkan pemberi maklumat supaya mendiamkan diri berhubung skandal rasuah 1MDB,” kata Robertson.

The Diplomat melaporkan sabitan itu turut merosakkan reputasi Malaysia daripada segi perniagaan dan politik.

Selepas mendedahkan sebahagian penemuan laporan audit mengenai 1MDB pada 24 Mac lalu, Rafizi ditahan awal April lalu dan didakwa melanggar OSA.

Dia kini dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu permohonan rayuan di Mahkamah Tinggi.

“Jika proses rayuan itu tamat tanpa menolak keputusan mahkamah itu, dia akan hilang kerusi di Parlimen dan dihantar ke penjara semata-mata melaksanakan haknya.

“Jika Rafizi Ramli dipenjarakan, Amnesty International akan mempertimbangkan dia sebagai banduan berhati nurani,” kata Benedict kepada The Diplomat.

Rafizi dijatuhi hukuman penjara 18 bulan bocor audit 1MDB

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.