Ibrahim Ali ada agenda tersembunyi, kata Khairuddin

Ibrahim Ali ada agenda tersembunyi, kata Khairuddin

Orang kuat Dr Mahathir itu berkata presiden Perkasa mahu gagalkan pertandingan 1 lawan 1 dalam pilihan raya umum akan datang

khairuddin
PETALING JAYA:
Orang kuat Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Khairuddin Abu Hassan menuduh Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali mempunyai agenda tersembunyi melalui rancangan menurunkan 50 calon bebas di kawasan Parlimen majoriti Melayu pada PRU14.

Ibrahim sebelum ini berkata Perkasa mahu masukkan calonnnya di kerusi yang dijangka ditandingi Umno, PAS dan Pakatan Harapan.

Sekiranya Ibrahim tidak mengadakan perbincangan dengan pembangkang sebelum menurunkan calon mereka, Khairuddin menegaskan langkah itu mahu menggagalkan rancangan 1 lawan 1 menentang Barisan Nasional.

“Apa saja alasan yang Ibrahim Ali bakal berikan, contohnya ‘ini negara demokrasi siapapun berhak bertanding’ tetapi bagi saya dia tetap seorang pengkhianat yang sedang merosakkan pelan Pakatan Harapan yang gigih berusaha untuk hadapi pertandingan 1 lawan 1,” kata Khairuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menggesa Ibrahim supaya jangan halang Pakatan Harapan. “Beliau sepatutnya membantu blok pembangkang tumbangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta kerajaan kleptokrasi bukan untuk main peranan kacau daun.”

Bagaimanapun, Khairuddin menepis Ibrahim sebagai ahli politik yang tidak lagi relevan dalam politik hari ini.

“Realitinya era Ibrahim Ali sudah berlalu. Tolonglah jangan bernafsu besar lagi di dalam politik dan jangan sama sekali nak memporak-perandakan harapan rakyat bagi melihat pertandingan 1 lawan 1.”

Ibrahim di Persidangan Tahunan Perkasa hari ini berkata mereka akan menurunkan 50 calon bebas dengan latar belakang pendidikan dan kerjaya yang menyakinkan. Antaranya termasuk bekas penjawat awam, peguam berpengalaman, golongan profesional dan tokoh agama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.