Pembinaan Pusat Latihan Polis di Bentong tertangguh 7 tahun

Pembinaan Pusat Latihan Polis di Bentong tertangguh 7 tahun

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 2, tempoh menyiapkan projek itu mengambil masa yang lama iaitu melebihi 7 tahun (sehingga pengauditan pada Mei 2016) untuk disiapkan.

audit-negara_kdn_600
KUALA LUMPUR:
Projek membina dan menyiapkan Pusat Latihan Polis di Mukim Pelangai, Bentong Pahang oleh agensi pelaksana Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) didapati lewat dan tidak diurus dengan baik.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 2, tempoh menyiapkan projek itu mengambil masa yang lama iaitu melebihi 7 tahun (sehingga pengauditan pada Mei 2016) untuk disiapkan.

Semakan audit juga mendapati ‘Extension Of Time’ (EOT) lewat diluluskan selama 7 bulan selepas tarikh siap asal bagi kontrak pertama.

Dalam pada itu, KDN dalam kenyataan balasnya berkata jangka tempoh masa selama 7 tahun untuk menyiapkan projek ini disebabkan prestasi kontraktor pertama yang tidak memuaskan dan juga keperluan masa ratifikasi dan penambahbaikan.

Menurut kenyataan itu, faktor utama kelewatan bagi kontrak pertama ialah kontraktor pertama tidak kompeten dan tidak berkemampuan. Ini menyebabkan kesukaran bagi pihak perunding dan JKR menyelia projek dengan baik.

“Dalam tempoh EOT No 1 yang diluluskan selama 285 hari, kontraktor masih tidak dapat menyiapkan projek tersebut. Pihak Pegawai Penguasa (P.P) bersetuju untuk meluluskan EOT No.2 selama 215 hari iaitu sehingga 30 Jun 2012. Tarikh siap semasa pada 30 Jun 2012.

“Dalam pemantauan P.P, walaupun diberi EOT No.2 pihak kontraktor masih lagi tidak menyiapkan projek ini. P.P memberi beberapa surat peringatan kepada kontraktor supaya memberikan komitmen bersungguh untuk menyiapkan projek ini namun kontraktor masih gagal menyiapkan projek ini di dalam tempoh kontrak,” menurut kenyataan itu.

Laporan Ketua Audit Negara itu juga menyebut audit dijalankan antara Disember 2015 hingga Mei 2016 mendapati peningkatan kos projek berjumlah RM12.88 juta (termasuk kos elektrik RM3.80 juta) dalam kontrak kedua tidak wajar kerana kelemahan perunding menilai baki kerja mengakibatkan penambahan skop.

Selain itu, Perakuan Muktamad Kontrak yang Ditamatkan Pengambilan Kerja Kontraktor lewat disediakan iaitu setahun 2 bulan selepas kontraktor penyelamat dilantik.

“Pengurus pembinaan tidak memuaskan kerana prosedur pembinaan tidak mengikut turutan, reka bentuk yang tidak sesuai dan kualiti kerja yang tidak memuaskan. Pemantauan JKR, KDN dan Perunding didapati kurang berkesan,” menurut laporan itu.

Laporan itu menyarankan agar JKR mengambil tindakan tegas terhadap kegagalan perunding dalam menyelia projek dengan baik.

“KDN dan JKR disyorkan mengambil iktibar daripada kelemahan dalam pengurusan Projek Pusat Latihan Polis ini,” menurut laporan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.