Hanya 1 hospital kerajaan di Johor terima perakuan Bomba

Hanya 1 hospital kerajaan di Johor terima perakuan Bomba

Bagaimanapun, Hospital Segamat, Hospital Pontian, Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar dan Hospital Tangkak tidak perlu memohon sijil itu.

ayub-rahmat-1
ISKANDAR PUTERI:
Hanya sebuah daripada 12 hospital kerajaan di negeri ini mendapat Sijil Perakuan Bomba (FC), kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat.

Beliau berkata Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang memperoleh sijil itu pada 2012 tetapi perlu memperbaharuinya setiap tahun, selari dengan kehendak Akta Bomba dan Penyelamat 1988.

Katanya, 6 hospital lagi iaitu Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail dan Hospital Permai yang terletak di Johor Bahru; Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat; Hospital Kota Tinggi dan Hospital Mersing masih dalam proses permohonan untuk mendapatkan sijil berkenaan.

Empat hospital lain iaitu Hospital Segamat; Hospital Pontian; Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar dan Hospital Tangkak tidak perlu memohon sijil itu kerana tidak termasuk dalam tahap kategori yang ditetapkan berdasarkan akta berkenaan.

“Kesemua permohonan telah dibuat sejak 2007. Bagi HSA sebagai contohnya, kita telah melakukannya secara berperingkat mulai 2007, 2008 dan 2012 berdasarkan kepada blok-blok bangunan yang dibina,” kata beliau semalam.

Ayub berkata setiap pemilikan FC akan membolehkan pihak Bomba melakukan pemeriksaan keselamatan setiap tahun secara berkala bagi memastikan sistem
pendawaian, peralatan elektrik dan sebagainya di hospital terlibat berada dalam keadaan baik.

Terdahulu, ketika menjawab serentak soalan daripada enam wakil rakyat iaitu masing-masing BN dan DAP berhubung kebakaran HSA, Ayub berkata ia berlaku bukan disebabkan sabotaj, mahupun disengajakan.

Bagaimanapun, siasatan merangkumi pelbagai aspek dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.

Beliau memaklumkan di bawah Kementerian Kesihatan, HSA turut mempunyai 2 jawatankuasa yang memantau keselamatan iaitu Jawatankuasa Keselamatan dan
Kesihatan Pekerjaan serta Jawatankuasa Kebakaran.

Menerusi jawatan ini, HSA memiliki pelan kontigensi dalaman untuk menangani insiden di dalam premis hospital seperti kejadian bekalan elektrik dan air terputus dan kebakaran, katanya.

Sejak tahun lepas, 6 sesi latihan kebakaran dijalankan melibatkan 365 kakitangan hospital.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.