
Wong Sing Chuan yang mengetuai SMK Bandar Sibu berkata, pelajar terbabit sebaliknya memilih untuk tidak mengambil kertas itu atas kerelaan sendiri.
“Saya tidak pernah halang mereka. Langsung tiada alasan untuk saya berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Semalam di Parlimen, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menjawab soalan Alice Lau Kiong Yieng (DAP-Lanang) yang memaklumkan beliau menerima satu laporan mendakwa pelajar dilarang mengambil kertas Matematik SPM kerana bimbang akan menjejaskan prestasi keseluruhan sekolah itu.
Lau memberitahu Parlimen yang pelajar terbabit dihalang kerana mereka gagal dalam kertas Matematik pada peperiksaan percubaan sekolah itu.
Mahdzir berkata, pelajar terbabit dibenarkan mengambil kertas Matematik secara percuma jika terbukti kejadian itu berlaku dan pengetua berkenaan akan dikenakan tindakan jika didapati bersalah.
Semua pelajar tingkatan 5 sedang menduduki peperiksaan SPM bermula 7 November lalu hingga 30 November ini.
Wong mengesahkan Kementerian Pendidikan sudah menghantar sebuah pasukan khas terdiri daripada 3 pegawai dari Jabatan Pendidikan Kuching dan 4 lagi dari Sibu untuk menyiasat perkara itu.
Katanya, beliau tidak dibenarkan bercakap dengan ibu bapa pelajar terbabit ketika siasatan dijalankan di bawah bidang kuasa Pengarah Pendidikan Sarawak, Rakayah Madon.
Wong yakin beliau akan terbukti tidak bersalah berdasarkan siasatan yang akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
“Tiada apa yang berlaku hari itu. Kenapa kami hendak menghalang mereka (menduduki peperiksaan)? Mereka (4 pelajar itu) malah kata saya menjerit kepada mereka untuk tidak menduduki peperiksaan.
“Jika saya ada melakukannya, semua orang akan saksikannya,” katanya.
Wong berkata, prestasi pelajar terbabit tidak baik dan mereka terkenal dengan “ponteng kelas” sebelum peperiksaan.
Lau mengesahkan beliau menerima laporan itu daripada ibu bapa 4 pelajar terbabit yang turut mengadu kepada Kementerian Pendidikan dan membuat laporan kepada polis.
“Jika mereka benar-benar dihalang pengetua, maka mereka perlu diberi peluang mengambil kertas Matematik,” kata Lau ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, pegawai Kementerian Pendidikan memberitahu ibu bapa untuk memaklumkan anak mereka “teruskan dengan subjek lain” dan fokus kepada mata pelajaran lain dalam peperiksaan SPM.