KPN nafi Malaysia jadi hab jual bayi

KPN nafi Malaysia jadi hab jual bayi

Beliau berkata tidak dinafikan aktiviti penjualan bayi berlaku di negara ini, namun ia tidak semudah yang dilaporkan dalam program terbitan Al-Jazeera kelmarin.

khalid-bakar
KUALA LUMPUR:
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menolak tanggapan Malaysia merupakan hab penjualan bayi seperti yang dilaporkan stesen televisyen Al-Jazeera.

Beliau berkata tidak dinafikan aktiviti penjualan bayi berlaku di negara ini, namun ia tidak semudah yang dilaporkan dalam program terbitan Al-Jazeera kelmarin.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa mengambil tindakan tegas dan bekerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi bagi memastikan aktiviti pemerdagangan dan sebarang bentuk eksploitasi terhadap wanita dan kanak-kanak diberi keutamaan.

“PDRM akan menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan yang dibuat pihak Al-Jazeera bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, polis giat menangani isu berkenaan dan ini dibuktikan dengan tindakan yang diambil Unit Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Orang (Atipsom) D7C yang ditubuhkan pada 2008, dan oleh Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah PDRM.

Beliau turut menggesa masyarakat supaya mengambil anak angkat dengan mematuhi peraturan dan undang-undang berkaitan bagi memastikan tidak wujud ruang untuk eksploitasi kanak-kanak.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kementeriannya mengambil perhatian serius terhadap banyak isu yang diketengahkan dalam dokumentari stesen televisyen itu.

Katanya, kementeriannya sudah memulakan siasatan khusus terhadap doktor dan pusat penjagaan kesihatan yang dilaporkan dalam program tersebut.

“Bergantung kepada hasil siasatan, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap doktor dan pusat penjagaan kesihatan yang terbabit,’ katanya dalam kenyataan.

Dr Subramaniam berkata semula pengamal perubatan dijangka pada setiap masa mematuhi standard tingkah laku masing-masing selaras dengan maruah profesion tersebut.

PAUTAN; 

Al Jazeera dedah komplot jual bayi libatkan penjawat awam

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.