Keputusan bersalah anak ‘Datuk’ bunuh eksekutif pemasaran dikekalkan

Shahril-JaafarPUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman mati ahli perniagaan berusia 35 tahun yang membunuh eksekutif pemasaran berhampiran kelab di Sungai Petani, 10 tahun lalu.

Panel 3 hakim dipengerusikan Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh, ketika menolak rayuan Shahril Jaafar, berkata keputusan bersalah disokong bukti yang kukuh.

“Hakim perbicaraan tidak melakukan apa-apa kesilapan rayuan dan mahkamah tidak perlu campur tangan,” kata Zawawi.

Tahun lalu, hakim perbicaraan Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman mati ke atas Shahril kerana membunuh Chee Gaik Yap.

Shahril membunuh Chee, yang ketika itu berusia 25, berhampiran Kelab Cinta Sayang di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, pada 15 Januari 2006.

Chee, graduan Universiti Utara Malaysia, dirogol dan mayatnya dibuang di satu kawasan perumahan.

Beliau dipercayai diekori penyerangnya ketika berjoging di kawasan kejiranan.

Shahril, anak ahli perniagaan bergelar “Datuk”, ditahan tidak lama lagi selepas mayat Chee ditemui, tetapi dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu keputusan ujian DNA.

Beliau, bagaimanapun melanggar jaminan dan berlepas ke Perth, Australia, di mana beliau kemudiannya mendapat status penduduk tetap.

Beliau ditangkap semula 6 tahun kemudian semasa sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Perth pada Januari 2012.

Pada Jun 2014, Mahkamah Tinggi membebaskan Shahril kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Bagaimanapun, pada November tahun itu, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan memerintahkan Shahril membela diri.

Shahril memberi kenyataan tidak bersumpah dari kandang tertuduh di mana pendakwa tidak boleh menyoal balas beliau.