
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu berkata, fitnah dibuat Rafizi menyebabkan Ketua Wanita Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil meletakkan jawatan sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri.
“Kita ingin memperingatkan kembali mengenai sejarah yang dilakukan individu yang dikenali sebagai Rafizi. Apa yang saya cuba ingin gambarkan dan memperingati adalah kerana dia ketua Wanita Umno Malaysia terpaksa berundur jawatannya sebagai menteri.
“Ia supaya, ahli Umno ingat apa yang beliau lakukan. Walaupun dia (Rafizi) dijatuhkan hukuman tetapi kesannya tidak akan dilupakan sampai bila-bila,” katanya sewaktu ditemui pemberita, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.
Katanya, fitnah dibuat Rafizi sangat mendalam buat ahli Umno kerana sehingga hari ini masih ada yang percaya kata-kata dilontarkan pemimpin PKR itu.
“Apa yang Rafizi juga buat adalah mengatakan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, membeli cincin bernilai RM24 juta.
“Tetapi apabila Rosmah cuba saman, beliau kata hanya bergurau. Jadi, saya ingin beritahu Umno, individu ini adalah individu kaki fitnah,” katanya.
Sementara itu, Jamal turut mengulas mengenai ugutan bunuh diterima Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah yang baginya hanyalah sandiwara.
“Itu hanyalah sandiwara. Lakonan untuk meraih simpati orang ramai terhadap beliau.
“Biarlah polis lakukan siasatan, saya yakin kalau ada yang berniat jahat, polis akan dapat. Tetapi ia hanyalah untuk menarik simpati orang ramai,” katanya.
Semalam, Maria berkata beliau menerima surat mengandungi ugutan bunuh bertulis “Last Warning, If Not R.I.P Marina & Family” berserta sebiji peluru hidup 0.45mm di rumahnya, selepas dibebaskan daripada tahanan polis 2 hari lalu.
Ancaman itu dipercayai dihantar pada malam 18 November lalu, hari sama beliau ditahan dan sehari sebelum himpunan Bersih 5.
Jelas Jamal, Maria terpaksa menggunakan taktik sedemikian selepas gagal menarik peserta dalam himpunan Bersih 5 pada 19 November lalu.
“Maria Chin hanyalah berpengaruh kepada pengikutnya sahaja dan untuk menutupi kegagalan itu, dia akan “create” isu supaya orang mempercayai beliau,” katanya.