Khairy: Malas baca, air jampi antara masalah anak muda Melayu

Khairy: Malas baca, air jampi antara masalah anak muda Melayu

Khairy berkata anak Melayu seharusnya menjiwai dunia sains dan bukannya ghairah melihat program hiburan.

khairy-lepak-1
KUALA LUMPUR:
Khairy Jamaluddin hari ini menyenaraikan pelbagai contoh yang menurutnya menjadi masalah anak muda Melayu.

Dalam ucapan pembukaannya pada Perhimpunan Agung Pemuda Umno 2016 hari ini, Khairy berkata anak Melayu seharusnya menjiwai dunia sains dan bukannya ghairah melihat program hiburan, kata Khairy Jamaluddin.

“Adakah kita masih inginkan anak Melayu yang malas membaca? Adakah anak Melayu yang hanya ghairah dengan program- program TV seperti Melodi dan Meletop aspirasi kita?” soal ketua Pemuda Umno itu.

“Adakah kita mahu anak muda Melayu yang percaya tahyul, percaya khurafat, percaya bomoh, percaya pada air jampi untuk selesaikan masalah mereka?” katanya.

Katanya, bukan perkara asing untuk melihat bangsa Melayu dihormati dan disegani kerana ia pernah berlaku ketika di zaman kesultanan Melayu Melaka.

“Kita pernah melihat suatu zaman di mana bangsa kita disegani, bangsa kita dihormati, orang bertandang ke tempat kita demi sesuap rezeki.

“Budaya kita di zaman Kesultanan Melayu Melaka budaya terbuka – sentiasa menerima pelbagai pendapat untuk memperbaiki pelabuhan.

“Pemikiran kita di zaman itu pemikiran logikal, di mana Shahbandar dan pedagang berfikiran inovatif dan teknikal, dalam mencari cara untuk meningkatkan keuntungan dan mengurangkan kos,” katanya.

Khairy berkata beliau mahu satu hari nanti tersenyum bangga melihat anak Melayu bukan hanya gagah bertempik suara, tetapi juga tidak sangsi dengan kebolehan sendiri.

“Hanya melalui peralihan falsafah dan jati diri sesuai dengan zaman, barulah segala pencapaian dan kejayaan yang kita harapkan untuk Melayu 30 tahun lagi, mampu menjadi realiti.

“Sebaliknya, seandainya kita masih di takuk pemikiran lama, masih tidak berganjak dari zon selesa, maka bahtera akan kekal berlabuh takkan berlayar ke mana..,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.