UKM benarkan aktivis pelajar tangguh hukuman tunggu rayuan

Peaceful-Assembly-Act-(2012),-Asheeq-Ali,-#TangkapMO1,-UKM,-illegal-rally

PETALING JAYA: Aktivis pelajar, Asheeq Ali dibenar menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhubung penggantungan dan denda kerana menyertai himpunan #TangkapMO1, Ogos lalu.

Beliau turut mengugut akan mengambil tindakan undang-undang terhadap UKM jika tuduhan dan hukuman ke atasnya tidak dibatalkan.

“Saya sudah menghantar surat rayuan dan memorandum 2 minggu lalu kepada naib canselor untuk menggugurkan tuduhan terhadap saya.

“Saya tahu proses rayuan akan mengambil masa dan meminta universiti menangguhkan hukuman sehingga mereka membuat keputusan,” katanya kepada FMT hari ini.

Asheeq berkata, beliau dibenar meneruskan pengajiannya, tetapi UKM akan menggantung beliau jika rayuannya gagal.

Pelajar jurusan undang-undang tahun 3 itu digantung 1 semester dan didenda RM200, selepas didapati bersalah dalam pendengaran dengan lembaga disiplin universiti, pada 15 November lalu.

Asheeq dilaporkan berkata, alasan lembaga disiplin ialah beliau memalukan universiti itu dan melakukan kesalahan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dengan menyertai perhimpunan haram.

Asheeq bukan pelajar pertama yang dihukum kerana menganjurkan perhimpunan itu.

Oktober lalu, Pengerusi Kesatuan Mahasiswa Malaysia, Anis Syafiqah Md Yusof bersama 3 pelajar lain diberikan surat tunjuk sebab oleh Universiti Malaya untuk sebab sama.

Mereka menghadiri pendengaran disiplin minggu ini, namun ia ditunda ke 9 Disember nanti.

Himpunan #TangkapMO1 diadakan untuk mendesak polis menyiasat dan menahan Malaysian Official 1 (MO1) yang dinamakan dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), Julai lalu, bagi merampas aset berbilion dolar yang didakwa diseleweng daripada dana 1MDB.

Dalam saman sivil DOJ itu, MO1 yang tidak didedahkan identitinya didakwa menerima wang bernilai AS$731 juta daripada 1MDB.

Pelajar sertai himpunan #TangkapMO1 mahu UKM batal hukuman