Tak ada salahnya PM serta himpunan, kata Nazri

Tak ada salahnya PM serta himpunan, kata Nazri

Beliau berkata tidak mengejutkan apabila Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail membuat kenyataan pedas mengenai PM hadir pada himpunan Rohingya minggu lalu.

nazri-najib-1
PETALING JAYA:
Datuk Seri Nazri Aziz hari ini mempertahankan Datuk Seri Najib Razak dan berkata tidak ada salahnya apabila perdana menteri menghadiri himpunan membantah keganasan terhadap etnik Muslim Rohingya di Myanmar.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata dengan mengadakan demonstrasi itu beliau menunjukkan kepada Myanmar tahap sokongan yang rakyat Malaysia berikan kepada orang Rohingya di Myanmar.

“Apa yang Najib lakukan ialah salah satu tindakan yang patut diambilnya atas kapasitinya sebagai perdana menteri,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempersoalkan kehadiran Najib pada himpunan itu, berkata beliau sepatutnya menyelesaikan krisis Rohingya dengan cara lebih diplomatik menerusi pendekatan “kerajaan kepada kerajaan”.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkongsi sentimen sama, berkata jika kerajaan ikhlas, mereka perlu terlebih dulu mengiktiraf pelarian Rohingya sebagai pelarian perang.

Nazri yang juga menteri pelancongan dan kebudayaan menyelar balik Dr Mahathir dan Wan Azizah, berkata tidak ada yang mengejutkan apabila mereka membuat kenyataan sebegitu terhadap kerajaan.

“Dr Mahathir membantah apa saja yang Najib buat, sementara Wan Azizah terlalu naif dalam banyak isu dan prosedur kerajaan,” katanya.

Nazri berkata Dr Mahathir menggali kubur politiknya sendiri apabila memilih menghadiri Persidangan Tahunan DAP semalam, sementara Najib pula menghadiri himpunan demi perjuangkan Rohingya.

“Ia politik bunuh diri bagi mana-mana ahli politik Melayu buat apa yang Dr Mahathir lakukan,” katanya.

Sementara itu, Nazri menggelar ketua de facto Myanmar dan pemenang Anugerah Nobel Keamanan Aung San Suu Kyi sebagai hipokrit kerana mengabaikan masyarakat Rohingya.

“Aung San seorang yang hipokrit dan rasis serta menggunakan gendernya untuk meraih simpati.

“Jelas, dia mengabaikan Rohingya ketika mereka memerlukan sokongannya terutama dengan pengaruh yang ada pada dirinya,” katanya.

Malaysia mengkritik cara Myanmar mengendalikan keganasan di daerah utara Rakhine yang menyebabkan ratusan penduduk lari ke seberang sempadan Bangladesh.

Pada Ahad, lebih 10,000 yang kebanyakannya ialah Rohingya menghadiri himpunan anjuran Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) dan NGO lain.

Himpunan itu turut menyaksikan pemimpin Umno dan PAS berkongsi pentas, termasuk Najib, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.

Menurut Amnesty International, masyarakat Rohingya ditindas tentera Myanamar sejak 1978. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menggambar mereka sebagai “masyarakat minoriti paling teraniaya di dunia”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.