Jenama roti terperangkap dalam politik Indonesia

sari-roti

JAKARTA: Jenama roti terkenal Indonesia, Sari Roti berdepan kecaman selepas ia menafikan tidak mengedar roti percuma kepada peserta himpunan membantah Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok, Jumaat lalu.

Syarikat pengeluarnya, Nippon Indosari Corpindo sebelum ini dipuji selepas gambar penjaja memberikan roti Sari Roti kepada peserta himpunan “212” itu menjadi viral di media sosial.

Gambar itu menunjukkan penjaja di depan kereta sorong dengan papan tanda kecil “Gratis untuk Mujahid” (Percuma untuk Mujahid).

Ia mengundang pujian pihak yang menentang Ahok, lapor The Jakarta Post.

Jumaat lalu, puluhan ribu membanjiri pusat bandar raya Indonesia menyertai perhimpunan 212 bertujuan menggesa Ahok ditangkap atas tuduhan menghina Islam.

Ia susulan kritikan Ahok dalam ucapannya terhadap mereka yang memetik ayat Al-Quran yang ditafsirkan sebagai larangan bersekutu dengan orang Kristian.

Pujian terhadap Sari Roti berubah apabila semalam, syarikat pembuat roti itu dalam kenyataan rasmi menafikan ia terbabit dalam himpunan 212.

Syarikat turut menafikan pembabitannya dalam himpunan itu dan tidak bercadang untuk terbabit dalam mana-mana aktiviti politik.

“Maklumat mengenai penjaja Sari Roti memberikan roti percuma bukan polisi korporat kami dan dilakukan tanpa kebenaran korporat,” katanya dipetik daripada The Jakarta Post.

Syarikat itu berkata ia komited mengekalkan nasionalisme dan melindungi “perpaduan dalam kepelbagaian” di Indonesia.

Penjelasan itu mendapat reaksi negatif netizen, dengan ramai mempersoalkan kenyataan itu, dan menegurnya kerana ia patut berterima kasih kepada peserta membeli jenama itu dalam jumlah besar.

Ramai mula memboikot produk Sari Roti dengan hashtag #boikotsariroti, dengan beberapa netizen memuat makanan alternatif kepada roti sebagai pilihan baru sarapan mereka.