Malaysia gagal ke suku akhir hoki Piala Dunia Remaja

Malaysia gagal ke suku akhir hoki Piala Dunia Remaja

Skuad negara tewas 0-3 kepada Belgium pada perlawanan akhir Kumpulan B.

hoki
KUALA LUMPUR:
Hasrat skuad negara untuk berada dalam kelompok 8 pasukan terbaik pada Piala Dunia Remaja 2016 musnah setelah tewas 0-3 kepada Belgium di Lucknow, India, hari ini.

Pada perlawanan terakhir Kumpulan B di Stadium Hoki Major Dhyan Chand, Belgium yang mengekalkan rekod tanpa kalah, meledakkan gol pertama menerusi jaringan padang seawal minit ke-10 menerusi Gregory Stockbroekx.

Skuad negara memperoleh peluang menyamakan kedudukan melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-19, namun Muhammad Najmi Farizal Jazlan mensia-siakan peluang.

Sebaliknya, pasukan lawan terus menguasai perlawanan sehingga Vuentin Van Lierde menambah tekanan buat skuad bimbingan Wallace Tan dengan jaringan kedua pada minit ke-33 menerusi gol padang.

Babak kedua perlawanan menyaksikan Belgium terus menguasai perlawanan dengan hantaran kemas dan hasilnya mereka memperoleh gol ketiga melalui pukulan penalti Thomas Verheijen pada minit ke-55.

Selepas ini, skuad negara akan beraksi bagi kedudukan kesembilan hingga 11 pada kejohanan itu.

Dalam pada itu, Belanda muncul 2 pasukan terbaik dan akan meneruskan saingan di suku akhir selepas mengalahkan Mesir 7-0 dalam satu lagi perlawanan terakhir Kumpulan B.

Untuk rekod, Malaysia menduduki tempat ke-4 selepas tewas kepada Belanda 2-7 pada 2013. Skuad negara turut berada di kedudukan yang sama dalam 3 penyertaan pada 1979, 1982 dan 1985.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.