Tapisan pengawal peribadi perlu lebih ketat, kata persatuan

Tapisan pengawal peribadi perlu lebih ketat, kata persatuan

Persatuan Latihan dan Pembangunan Keselamatan Malaysia berkata pengawal peribadi perlu dikenakan ujian poligraf

stadam-bidyguard
PETALING JAYA:
Pengawal peribadi perlu melalui proses penapisan yang lebih ketat disamping latihan perlindungan rapat, kata tokoh industri keselamatan.

Presiden Persatuan Latihan dan Pembangunan Keselamatan Malaysia (Stadam) Khirudin Tajudin berkata latihan dan penilaian psikologi tidak lagi memadai.

“Saya menyarankan pegawal peribadi dikenakan ujian poligraf dan ujian itu perlu dijadikan sebahagian daripada proses tapisan,” katanya kepada FMT.

Khirudin berkata ujian itu bukan sahaja menyingkap kesihatan mental, tetapi juga menentukan tahap kewibawaan pengawal peribadi terbabit.

“Ujian poligraf boleh menentukan sama ada pengawal peribadi itu seorang penipu atau meragukan.”

Khirudin mengulas cadangan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) agar syarikat keselamatan menjalankan penilaian psikologi ke atas pengawal peribadi masing-masing bagi memastikan kesihatan mental anggota mereka.

Naib Presiden MCPF Tan Sri Lee Lam Thye berkata langkah tambahan itu perlu agar pengawal peribadi menjalankan tugas dengan tekun.

Mulai awal tahun depan semua pengawal keselamatan dan pengawal peribadi diwajibkan menjalani latihan khas dan akan ditauliahkan oleh polis.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata latihan itu wajib untuk memperbaharui lesen tahunan membawa dan menggunakan senjata api.

Khirudin mengalu-alukan langkah itu, tetapi menyarankan Kementerian Sumber Manusia supaya bekerjasama dengan polis untuk menerbitkan sijil ujian kecekapan untuk pengawal peribadi yang membawa senjata api.

“Latihan oleh polis itu langkah yang baik, tetapi pengendalian senjata api perlu seketat mungkin.

“Sijil itu akan mengesahkan yang mereka cekap menggunakan senjata api dan bukan sekadar berkunjung ke lapangan sasar dan mendapatkan lesen.”

Beliau menegaskan pengawal keselamatan yang membawa senjata api di bank dan kedai barangan kemas juga diberi latihan yang sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.