
Ketua Polis Klang Utara, S Vijaya Rao berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira 1 pagi ketika mangsa berusia 40 tahun itu sedang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.
Katanya, ketika membuat rondaan mangsa melihat suspek bersama beberapa lagi lelaki sedang minum sebelum menegur mereka hingga berlaku salah faham antara mereka.
“Perselisihan itu kemudian bertukar menjadi pergaduhan sehingga mangsa diserang menggunakan objek tumpul.
“Mangsa yang mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut tetapi disahkan meninggal dunia pada 4.18 pagi ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan lapor Sinar Harian.
Rao berkata polis kemudiannya berjaya mengesan dan menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an kira-kira 10 pagi di Bukit Raja bagi membantu siasatan.
“Polis turut merampas sebatang besi pengunci kereta yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
“Semakan mendapati suspek mempunyai lapan rekod lampau jenayah serta dua rekod berkaitan dadah,” katanya.
Menurutnya, suspek yang merupakan penyelia pembinaan kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.