
“Rampasan ‘drone’ milik AS oleh China di Laut China Selatan menunjukkan negara Asean jika tidak bersatu, nasib dan kedudukan rantau ini akan ditentukan kuasa besar.
“Jika keseorangan, mungkin kita tidak mampu berdepan mereka. Tetapi sebagai gandingan 10 negara Asean, saya yakin China pun tidak boleh ambil mudah dan menidakkan pendirian kita,” kata menteri pertahanan itu dalam sidang media selepas Hari Penghargaan Institut Onn Jaafar di Kolej Damansara Utama, hari ini.
Khamis lalu, kapal perang China merampas ‘drone bawah laut’ Washington selepas mengesannya di kawasan perairan antarabangsa Laut China Selatan.
Hishammuddin berkata, Malaysia akan bertegas bagi menghalang penempatan aset ketenteraan di Laut China Selatan, walaupun terpaksa berdepan AS dan China.
Beliau berkata, Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dilantik menjadi wakil Malaysia dalam pertikaian wilayah di Laut China Selatan.
“Beliau akan menjadi ‘point person’ dan ada talian secara langsung dengan China dan AS.”
Beliau juga mahu TLDM meningkatkan pemantauan untuk mencegah kejadian tidak diingini melibatkan nelayan mahupun pihak berkuasa di laut lepas yang berisiko menjadi polemik antara negara Asean.
“Ini dengan harapan agar rantau kita tetap stabil dan selamat, tanpa dikaburi pertimbangan geopolitik kuasa besar.”
Laporan Asia Maritime Transparency Initiative baru-baru ini menunjukkan China menempatkan sistem persenjataan di 7 pulau buatan yang dibina mereka di Laut China Selatan, meskipun Beijing berikrar tidak akan menenterakan Kepulauan Spratly.
Pembinaan aset ketenteraan di kepulauan itu sejak 3 tahun lalu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan negara berkepentingan, yang khuatir Beijing akan menggunakan kekuatan tentera untuk menguatkuasakan tuntutan ke atas sebahagian besar Laut China Selatan, yang menjadi laluan utama kapal dagang bernilai AS$5 trilion setiap tahun.
Selain Malaysia dan China, Filipina, Vietnam, Brunei serta Taiwan juga menuntut Kepulauan Spratly.
http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2015/11/21/selesaikan-isu-laut-china-selatan-secara-aman-najib/