MEF: Guna levi RM2 bilion pekerja asing latih orang tempatan

MEF: Guna levi RM2 bilion pekerja asing latih orang tempatan

Shamsuddin juga menentang cadangan sebuah gabungan NGO tempatan, R2R untuk mewujudkan skim menyerupai Perkeso dan pencen bagi pekerja asing.

shamsuddin-mef-1
KUALA LUMPUR:
Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menolak cadangan untuk memberi manfaat sama seperti dinikmati rakyat negara ini kepada pekerja asing.

Sebaliknya, persekutuan itu mencadangkan levi RM2 bilion yang dikutip daripada pekerja asing setiap tahun digunakan untuk melatih warga tempatan, bukannya pendatang asing.

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, wang itu sepatutnya digunakan untuk melatih pekerja tempatan bagi meningkatkan kemahiran dan produktiviti mereka.

“Matlamatnya ialah mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing secara beransur-ansur. Kita perlu meningkatkan kemahiran pekerja tempatan.

“Majikan kemudiannya boleh membayar gaji mengikut peningkatan kemahiran dan latihan,” katanya kepada FMT sebagai mengulas cadangan sebuah gabungan NGO tempatan, Right to Redress Coalition (R2R) bagi meningkatkan kehidupan pekerja asing di Malaysia.

Antara cadangan mereka ialah menyediakan skim pencen, perlindungan keselamatan sosial seperti Perkeso, memberi akses kepada bayaran perubatan murah (sama seperti penduduk tempatan), membenarkan pekerja asing menyimpan pasport sendiri dan menghapuskan agensi pekerjaan swasta sebagai orang tengah dalam pengambilan pekerja asing.

Shamsuddin bagaimanapun menolak cadangan itu dengan berkata, ia tidak betul untuk memberi layanan sama yang dinikmati penduduk tempatan kepada pekerja asing.

“Jelas sekali pekerja asing berada di sini sebagai pekerja kontrak. Mereka bekerja 2 hingga 3 tahun, bergantung kepada terma dan syarat (pengambilan mereka).”

Mengenai pekerja asing yang disahkan menghidap penyakit berjangkit seperti batuk kering dan penyakit kronik lain, beliau berkata, mereka perlu dihantar pulang ke negara asal dengan segera.

“Kami menentang dasar sedia ada yang membolehkan mereka yang menghidap penyakit berjangkit merayu terhadap keputusan pemeriksaan kesihatan mereka. Itu mengejutkan. Jawapannya jelas, mereka perlu dihantar pulang.

“Kita perlu menghantar mesej betul kepada pekerja asing. Anda tidak menerima rawatan perubatan dengan peruntukan negara ini.”

Shamsuddin berkata, pekerja asing mempunyai insurans khas dan kad perubatan untuk merawat penyakit biasa dan amalan ini perlu diteruskan.

Laman web Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia menyatakan “Skim Kemasukan Hospital dan Pembedahan Pekerja Asing” menyediakan perlindungan sehingga RM10,000 untuk setiap pekerja asing menerima rawatan dan dimasukkan ke wad hospital kerajaan.

Manfaat perubatan itu konsisten dengan wad kelas ke-3, sehingga maksimum RM60 sehari dan akan meliputi kecederaan, kemalangan serta jatuh sakit.

Premium tahunan bagi setiap pekerja ialah RM120, tidak termasuk cukai perkhidmatan 6% dan duti setem RM10.

Premium tahunan yang akan ditanggung pekerja asing, kecuali bagi sektor perladangan dan pembantu rumah, di mana premiumnya ditanggung majikan.

Shamsuddin menafikan majikan akan memegang pasport pekerja asing secara paksaan, sebaliknya pekerja asing berhak tidak menyerahkan pasport mereka kepada majikan dengan menandatangani satu dokumen.

“Majikan harap dapat menguruskan pasport pekerja dan bagi tujuan penyimpanan selamat.

“Ia menyusahkan majikan yang beroperasi di luar ibu kota. Jika hilang, mereka perlu membawa pekerja asing membuat pasport ganti yang mengambil 3 hingga 4 hari bekerja untuk disiapkan.”

Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan gabungan NGO itu yang terdiri daripada North South Initiative, Persatuan Sahabat Wanita Selangor, Parti Sosialis Malaysia dan Tenaganita, mengenai penghapusan ejen pekerjaan sebagai orang tengah dan membenarkan perjanjian kerajaan dengan kerajaan.

Ini kerana, katanya, majikan dan pekerja boleh berjimat kira-kira 70% dalam kos pengambilan pekerja asing.

“Ketika ini, ia menelan belanja hampir RM10,000 untuk membawa masuk seorang pekerja Bangladesh. Tetapi, jika ia perjanjian kerajaan dengan kerajaan, ia hanya memerlukan RM3,000. Ia mengurangkan kos, kami sokong cadangan itu.”

Kerajaan menganggarkan terdapat 4 juta pendatang asing tanpa izin dan 2 juta pekerja asing sah di negara ini.

Kebanyakan pekerja asing diupah melakukan pekerjaan 3D – kotor, bahaya dan susah – dalam sektor perladangan, pembinaan, pembuatan dan industri perkhidmatan makanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.