Pekerja maut dihempap papan lapis

Pekerja maut dihempap papan lapis

Warga asing itu meninggal dunia akibat komplikasi kecederaan parah selepas lima hari dirawat di Hospital Seberang Jaya.

Pengarah JKKP Pulau Pinang Hairozie Asri, berkata insiden berlaku tersebut ketika mangsa terlibat dalam kerja pemasangan bumbung di aras ‘roof slab’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pekerja asing maut selepas beban papan lapis diangkat kren terlepas daripada ikatan lalu menghempapnya, dalam kejadian di tapak pembinaan Taman Perindustrian Bukit Minyak, Bukit Mertajam.

Susulan kejadian Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang mengeluarkan Notis Larangan dan Surat Arahan kepada pihak terlibat, sambil menyifatkan insiden berlaku sebagai kegagalan serius pengurusan keselamatan.

Pengarah JKKP negeri Hairozie Asri ketika mengulas lanjut, berkata kesan daripada dihempap papan mengakibatkan mangsa terjatuh dari ketinggian kira-kira enam meter dan meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya 24 Mac, akibat komplikasi kecederaan parah.

“Kemalangan berlaku di tapak pembinaan itu pada 19 Mac lepas dan mangsa yang bekerja dengan subkontraktor di tapak pembinaan tersebut terlibat dalam kerja pemasangan bumbung di aras ‘roof slab’ ketika kejadian berlaku sekitar 10.40 pagi.

“Insiden itu jelas menunjukkan kegagalan serius dalam pengurusan keselamatan di tempat kerja,” katanya menurut Bernama.

Hairozie berkata, pihak terlibat juga diarahkan untuk menghentikan kerja serta-merta sehingga semua keperluan keselamatan dipatuhi sepenuhnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.