
ILO berkata, FWCMS tidak diiktiraf PBB dan anugerah diterima oleh platform tersebut pada 2017 bukan diberikan badan dunia itu.
Katanya, Anugerah Sidang Kemuncak Dunia diterima sistem berkenaan diberikan oleh badan bukan keuntungan, International Center for New Media. Walaupun ia disampaikan di Sidang Kemuncak Dunia PBB mengenai Masyarakat Bermaklumat, ILO menegaskan ia tidak dikeluarkan PBB.
“Anugerah tersebut walaupun sememangnya sah, tidak bermaksud adanya pengiktirafan PBB,” katanya dalam kenyataan.
Agensi PBB itu mengulas pembelaan Bestinet terhadap FWCMS dan cadangan bagi Platform Lanjutan Pengambilan Sejagat dibangunkannya.
Bulan lalu, peguam cara Bestinet, Lui & Bhullar, menyatakan FWCMS menerima Anugerah Sidang Kemuncak PBB pada 2017, dan menyifatkannya sebagai pengiktirafan global terhadap sistem dibangun dan dikendalikannya.
Firma itu juga berkata, reka bentuk dan rangka kerja tadbir urus sistem tersebut dibangunkan selaras prinsip serta dasar ILO dan Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM), sebuah lagi agensi bawah PBB.
Ia berkata, Putrajaya hanya meluluskan bukti konsep bagi sistem tersebut pada 2012 selepas Bestinet memperoleh syor positif daripada pejabat serantau ILO di Bangkok dan Cawangan Khas.
‘Kami sokong cadangan FWCMS, bukan pelaksanaannya atau Bestinet secara menyeluruh’
ILO menjelaskan dakwaan mengenai syor tersebut, sambil menyatakan pejabat serantaunya hanya menerima taklimat mengenai FWCMS daripada Bestinet pada 10 April 2013, dan bukannya pada 2012 seperti didakwa.
Katanya, badan iti mendapati cadangan tersebut ‘disampaikan dengan baik, inovatif, menyeluruh, dan menunjukkan pemahaman yang baik terhadap sebahagian cabaran dihadapi dalam pengurusan berkesan migrasi buruh’.
“Selain daripada itu, ILO tidak mengetahui mengenai kelayakan atau kecekapan Bestinet melaksanakan sistem dicadangkan, dan ulasan ini tidak seharusnya ditafsirkan sebagai sokongan terhadap syarikat berkenaan,” katanya.
“Ulasan-ulasan ini dibuat berhubung dengan konsep atau cadangan awal dan tidak semestinya dianggap terpakai kepada, atau menyokong, sebarang pelaksanaan yang menyusul kemudiannya.”
ILO berkata, ia bersetuju mendengar cadangan Bestinet kerana berminat mengetahui berkait sebarang inisiatif berasaskan hak bagi menambah baik aliran migrasi buruh dan memperkukuh perlindungan pekerja migran.