Kumpulan koir gadis Islam curi tumpuan di gereja Lubnan

Kumpulan koir gadis Islam curi tumpuan di gereja Lubnan

Kumpulan itu mempersembahkan lagu 'Silent Night' dalam bahasa Arab di sebuah gereja Katolik di Beirut.

silent-night
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan koir Krismas yang dianggotai gadis beragama Islam menjadi tumpuan ketika mempersembahkan lagu “Silent Night” dalam bahasa Arab di Beirut, Lubnan baru-baru ini.

Klip video seramai 40 gadis bertudung itu menyanyikan lagu di Gereja Katolik St Elie Greek pada 19 Disember di sebuah kawasan majoriti Islam di ibu kota itu dimuat naik di laman Facebook milik Yayasan Imam Sadr, yang menaja kumpulan itu.

Mereka dipimpin ahli muzik terkenal Lubnan, Abeer Nehme.

Yayasan tersebut merupakan antara peserta siri konsert Beirut Chants Festival sempena Krismas, yang menyaksikan 23 pertunjukan percuma bermula 1 Disember sempena perayaan itu.

Ia menerima pujian ramai di negara yang hampir separuh penduduknya ialah penganut Kristian di samping majoriti Islam.

Lubnan merupakan antara negara unik di Timur Tengah, dan mengamalkan perkongsian kuasa di antara penduduk Kristian dan Islam.

Tiga jawatan tertinggi kerajaan juga dilantik bagi mewakili semua kelompok. Presiden dilantik dari kalangan penganut Kristian Maronit, Speaker dari penganut Islam aliran Syiah, dan perdana menteri penganut Islam aliran Sunnah.

https://www.facebook.com/ImamSadrFoundation/videos/1342900732421812/

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.