
Hakim Murtazadi Amran bagaimanapun mengarahkan pemilik dan pengasas Vida Beauty Sdn Bhd itu menyerahkan kembali pasportnya kepada mahkamah selewat-lewatnya 6 Februari ini.
Dalam prosiding sebutan semula kes jutawan kosmetik itu yang menghadapi pertuduhan gagal membayar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) hari ini, peguam Khairilazwar Khalil ketika mengemukakan permohonan itu memaklumkan anak guamnya akan ke Bangkok, pada 3 Januari ini; Guangzhou di China pada 16 hingga 22 Januari serta menunaikan umrah pada 26 Januari hingga 3 Februari nanti.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran membantah permohonan itu kerana beliau tidak menerima sebarang surat permohonan kebenaran memulangkan sementara pasport tertuduh, sebaliknya peguam bela hanya menyerahkan surat permohanan kepada mahkamah.
Katanya, satu afidavit berserta jadual penerbangan dan salinan tiket kapal terbang perlu diberikan kepada pihaknya untuk menunjukkan tertuduh akan balik ke tanah air dan tidak melarikan diri.
Dalam pada itu, Vida dilihat melompat keriangan selepas menerima pasport daripada mahkamah sambil berkata beliau mahu ke luar negara atas urusan kerja dan meminta rakyat mendoakan yang terbaik untuknya.
Sementara itu, mahkamah menetapkan 9 dan 10 Mac depan untuk perbicaraan 16 pertuduhan gagal membayar GST kira-kira RM4.2 juta selepas Vida mengekalkan pengakuan tidak bersalah.
Wanita itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bahagian GST, Wisma Kastam, No 1 Jalan Tun Razak, sejak April 2015 hingga Julai 2016.
Semasa dihadapkan ke mahkamah pada 13 Oktober lalu, Vida mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu mengikut Seksyen 41 (7) Akta GST 2014 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 3 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 15 Disember lalu, Vida didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah atas 16 pertuduhan gagal mengemukakan penyata GST sejak April 2015 hingga Julai 2016.
Beliau turut diwakili peguam Syed Ahmad Syed Abas, manakala pendakwaan juga dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan.