8 pemanjat ‘Ipoh’ beri keterangan pada polis

8 pemanjat ‘Ipoh’ beri keterangan pada polis

Ketua polis Ipoh berkata mereka yang terbabit iaitu 5 lelaki dan 3 wanita berusia lingkungan 20 hingga 24 tahun hadir memberi keterangan pada 10 pagi tadi.

Chang-Keong_ipoh_remaja_1600
IPOH:
Lapan remaja yang memanjat huruf besar membentuk perkataan “Ipoh” di Jalan Kuala Kangsar, di sini tampil memberi keterangan di Balai Polis Kampung Tawas hari ini.

Ketua Polis Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata mereka yang terbabit iaitu 5 lelaki dan 3 wanita berusia lingkungan 20 hingga 24 tahun hadir memberi keterangan pada 10 pagi tadi.

“Proses soal siasat individu terbabit masih dijalankan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sum berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan membahayakan nyawa atau keselamatan diri dan orang lain.

Katanya, jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara maksimum 3 bulan atau denda RM500 atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, semua mereka dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.

Semalam, polis meminta semua individu terbabit tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan kes tersebut.

Rakaman perbuatan mereka itu menjadi viral sejak 4 hari lalu yang menunjukkan ada antara mereka berbaring dalam buaian yang dipasang pada kerangka yang menampung huruf besar pada ketinggian melebihi 20 meter.

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh pada 12.45 tengah malam Ahad lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.