Banjir: Bomba Kelantan fokus Pengkalan Kubor, Tumpat

Banjir: Bomba Kelantan fokus Pengkalan Kubor, Tumpat

Hussin berkata, air dari Sungai Rantau Panjang dan Kuala Krai akan mengalir ke Pengkalan Kubor dan Tumpat yang merupakan destinasi terakhir aliran air sungai.

5
PETALING JAYA:
Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan akan memberi tumpuan lebih terhadap operasi banjir di Pengkalan Kubor dan Tumpat kerana air sungai dari kawasan hulu dijangka mengalir ke hilir, kata Penolong Pengarah Operasinya, Hussin Ab Rahman.

“Kalau lihat bacaan di sungai-sungai utama kawasan banjir mencatatkan penurunan, cuma sekarang ini tumpuan kita terarah kepada Pengkalan Kubor dan Tumpat, sebab air dari Sungai Rantau Panjang dan Kuala Krai akan turun ke sana kerana kawasan itu merupakan destinasi terakhir aliran air sungai.

“Malah, sehingga kini jumlah anggota keselamatan juga tidak ditambah, termasuk anggota bomba. Kita hanya mengerahkan anggota di Kelantan dan masih tidak meminta bantuan luar,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Hussin berkata, pihaknya menjangkakan paras air di kawasan banjir akan mula surut menjelang tengah hari ini memandangkan cuaca kembali cerah.

“Kalau ikutkan trend terkini, paras air di sungai-sungai utama sudah surut bermula pagi ini sebab tidak hujan lagi. Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan masih melebihi 9,000 orang.

“Sekiranya tidak lagi hujan dan paras air di sungai utama terus mencatat penurunan dalam masa sehari dua ini, mangsa boleh pulang ke rumah mereka.”

Katanya, semua hospital di Kelantan juga masih beroperasi seperti biasa dan tiada hospital dinaiki air seperti 2014.

“Hospital di Kelantan tidak mempunyai masalah dan tidak terlibat dengan banjir, mereka menjalankan operasi seperti biasa dan setakat ini tidak ada yang dinaiki air,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika dihubungi berkata, bekalan makanan cukup menampung keperluan semua mangsa banjir setakat ini.

Bagaimanapun, Shahidan mengakui pihak berkuasa berdepan sedikit kesukaran menghantar bantuan ke sesetengah kawasan banjir kerana paras air naik secara mendadak.

“Semua bantuan berjalan baik mengikut perancangan, bagaimanapun kami tidak menafikan ada sedikit kesukaran dalam memberi bantuan sebab air naik begitu mendadak. Bila air naik mendadak usaha bantuan sedikit mencabar,” katanya.

Shahidan berkata, beliau bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan turun ke padang bagi memastikan tiada mangsa banjir terputus hubungan dalam mendapatkan bantuan.

Keadaan banjir di Terengganu dan Kelantan bertambah buruk hari ini, apabila 20,742 mangsa daripada 6,449 keluarga terpaksa dipindahkan ke 207 pusat pemindahan di 2 negeri itu, setakat 8.20 pagi tadi.

Kerajaan negeri melalui laman web http://ebanjir.kelantan.gov.my pula melaporkan paras air 2 sungai utama di Kelantan menunjukkan penurunan, tetapi masih melepasi paras bahaya setakat 8 pagi tadi.
Dua sungai itu ialah Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah yang mencatat bacaan 17.65m (paras bahaya 16m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang dengan bacaan 10.39m (paras bahaya 9m).
Paras air Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai juga menurun kepada 22.84m (paras bahaya 25m), Sungai Lebir di Tualang, Gua Musang 29.67m (paras bahaya 35m) serta Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai 32.26m (paras bahaya 38m).

Banjir: Lebih 20,000 dipindahkan di Terengganu, Kelantan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.