Jais pantau masjid kekang ajaran sesat, ceramah berunsur keganasan

haris-kasim_jais_isis_600

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan terus memantau kuliah di semua masjid negeri ini bagi memastikan penceramah tidak menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyampaikan ceramah berunsur keganasan atau di luar bidang tauliah mereka.

Ketua Pengarahnya, Datuk Haris Kasim berkata, pemantauan itu dilakukan jawatankuasa masjid yang akan melaporkan kepada Jais.

“Kita ada jawatankuasa di semua 413 masjid di Selangor. Mereka inilah yang menjadi mata dan telinga kita.

“Apa sahaja yang berlaku di masjid memang di bawah kawalan Jais. Jika ada hal yang salah, kita tidak akan diam,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau mengulas pandangan pakar anti-keganasan dari Universiti Malaya, Balakrishnan RK Suppaiah yang berkata, walaupun negara mempunyai dasar betul dalam memerangi keganasan, pihak berkuasa agama perlu meningkatkan usaha menapis kegiatan pendakwah yang cenderung ke arah keganasan.

Balakrishnan berkata, penceramah perlu ditapis kerana ideologi pelampau sering disebarkan secara terbuka di rumah ibadat.

Haris berkata, pemantauan itu dibuat secara umum dan bukan khusus bagi mengesan unsur keganasan, memandangkan hal itu berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri.

Selain isu keganasan, katanya, kesalahan lain yang menjadi pemerhatian Jais ialah penceramah menyeleweng daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan berceramah di luar bidang tauliah.

“Tauliah yang diberikan mengikut kategori, seperti bidang muamalat, tajwid dan usuluddin. Kita akan menarik balik tauliah penceramah jika mendapati dia melanggarnya.”

Ogos tahun lalu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberi amaran isu keganasan akan terus memberi ancaman jika pihak berkuasa agama tidak memainkan peranan dalam membendung penyebaran ideologi “salafi jihadi”.

Haris bagaimanapun enggan mengulas kemungkinan ada penceramah mengangkat pihak terbabit dalam perang di Timur Tengah sebagai “mujahidin” berisiko membangkitkan minat rakyat Malaysia terhadap militan.

“Yang penting dalam membicarakan soal ini, kita kena berhati-hati agar orang tidak menganggap Islam cenderung ke arah keganasan, walau diakui agama sering jadi platform dalam menyebarkannya,” katanya.

Pakar: Henti sebar kebencian jika mahu perangi keganasan