Peniaga dituduh sokong IS mengaku tidak bersalah

Peniaga dituduh sokong IS mengaku tidak bersalah

Mohd Shaifful Shahril Ramli, 29, juga menghadapi pertuduhan memiliki barangan yang mempunyai lambang IS dan bahan yang tersenarai di bawah akta bahan letupan

Mohd-Shaifful-Shahril-Ramli
KUALA LUMPUR:
Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas 4 pertuduhan berkaitan kumpulan IS termasuk memiliki bahan letupan dan bendera yang mempunyai lambang kumpulan militan itu.

Mohd Shaifful Shahril Ramli, 29, membuat pengakuan itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Shariff Abu Samah yang kemudiannya menetapkan 14 hingga 16 Februari untuk perbicaraan.

Dia didakwa memberi sokongan kepada kumpulan IS dalam satu aplikasi media sosial Telegram ‘amanah(phb) vs pas’ atas nama Putra Zulkarnain dan Anonymous/Anonimous dalam telefon bimbitnya antara 25 Mac hingga 30 Jun tahun lepas mengikut Seksyen 130 J (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu juga didakwa memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas yang melibatkan penggunaan bahan letupan dengan niat untuk melanjutkan suatu perjuangan ideologi, serta bertujuan untuk mengugut orang awam di Malaysia melalui aplikasi Telegram di dalam telefon bimbitnya antara 26 Jun dan 29 Jun 2016 mengikut Seksyen 130 J (1)(b) yang memperuntukkan hukuman sama.

Mohd Shaifful Shahril juga menghadapi pertuduhan memiliki barang berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan dengan IS iaitu sehelai baju sejuk yang mempunyai lambang Islamic State (IS) tertulis ‘Muhammadun Rasulullah’ dan sehelai bendera yang mempunyai lambang IS yang tertulis ‘Lailahaillallah’, kira-kira pukul 9.45 pagi, 22 Julai tahun lepas.

Pertuduhan di bawah Seksyen 130 JB (1)(a) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana barang tersebut, jika sabit kesalahan.

Dia juga menghadapi pertuduhan memiliki bahan letupan mengandungi campuran sodium klorat dan sukros yang masing-masing berfungsi sebagai pengoksida dan bahan api yang tersenarai di bawah Akta Bahan Letupan pukul 9.45 pagi, 22 Julai 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara 7 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mohd Shaifful Shahril yang sudah berkahwin didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di No. 3, Lorong Indah 1, Kampung Sri Indah B, Sungai Buloh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Nurfaida Mohd Rashidee sementara tertuduh diwakili peguam K A Ramu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.