Pemandu rempuh motosikal didakwa

Pemandu rempuh motosikal didakwa

TS Kugenthiran didakwa memandu kenderaan secara melulu yang berbahaya dalam kejadian yang berlaku di ibu negara.

kemalangan jalan sultan ismail
Tangkap layar video selepas kejadian di ibu negara semalam.
KUALA LUMPUR:
Lelaki yang memandu kereta sehingga merempuh dua penunggang motosikal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan memandu secara melulu dan berbahaya.

Mengikut kedua-dua pertuduhan itu, TS Kugenthiran, 25, didakwa memandu kenderaan secara melulu yang berbahaya kepada Muhammad Afiq Zayani Azliyuszaini, 24, dan Muhammad Hairy Abdul Rahman, 19.

Kejadian berlaku di Jalan Sultan Ismail dari arah pusat bandar menghala ke arah Tuanku Abdul Rahman pada 4.30 pagi, 2 April.

Pertuduhan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak melebihi RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang dua tahun dan lesen memandu percubaan dibatalkan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurbatrisyia Razib menawarkan jaminan RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Ahmad Nadzli Rizal yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya masih bujang dan bekerja sambilan di Genting Highlands sementara menunggu kemasukan untuk melanjutkan pelajaran.

Majistret Syazwany Yasmyn Roslan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Jun depan untuk sebutan kes.

Sebelum ini, polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes kemalangan membabitkan sebuah kereta dan dua motosikal, dipercayai berpunca daripada kegagalan mematuhi lampu isyarat merah.

Siasatan mendapati dua motosikal itu sedang melintasi persimpangan dengan lampu isyarat hijau, namun sebuah kereta dipercayai gagal mematuhi lampu isyarat merah lalu merempuh penunggang motosikal berkenaan.

Dua penunggang berkenaan mengalami kecederaan serius dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur. Mangsa berusia 24 tahun putus kaki kiri, manakala seorang lagi patah tangan serta kaki kiri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.